Lembu korban 1.4 tan paling berat, cecah harga RM40,000


  • Benua
  • Isnin, 11 Jul 2022

Lembu seberat 1.4 tan yang menjadi korban pada Hari Raya Aidiladha. — Agensi

SEEKOR lembu milik Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia didakwa paling berat di seluruh negara itu.

Difahamkan, lembu yang dibeli daripada seorang penternak yang dikenali sebagai Sabri, dari Kampung Genggelang, dekat Gangga, Lombok Utara itu mempunyai berat 1.4 tan dengan ketinggian 1.74 meter dan panjang 2.85 meter.

Ketua Penyuluhan Pemprosesan dan Pemasaran Hasil Ternakan, Jabatan Penternakan dan Kesihatan NTB, yang dikenali sebagai Rahmadin berkata, lembu tersebut berharga 140 juta rupiah (RM41,372).

Lembu berusia dalam anggaran 5 tahun itu dikorbankan di Masjid Al Mujahidin, Kecamatan Selong, Kabupaten Lombok Timur.

Sementara itu, Ketua Daerah Lombok Timur, Sukiman Azmy menyerahkan daging lembu itu kepada pengelola Masjid Al Mujahidin.

"Atas nama pemerintah daerah dan masyarakat, saya berterima kasih kepada Presiden Jokowi atas bantuan lembu korban ini," kata Sukiman.

Selain itu, lembu ternakan yang menjadi korban itu diberi pelbagai jenis makanan sehingga menyebabkan beratnya mencapai luar biasa.

Malah, lembu tersebut bebas penyakit mulut dan kaki.

Pada masa sama, setiap wilayah di Indonesia menerima lembu seberat 800 kilogram hingga 1 tan.

Jokowi dan beberapa pemimpin Indonesia menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Istiqla di Jakarta pada Ahad. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram