'Rezeki ada di mana-mana' ex-team nasihat bekas pemain terpalit kes dadah


  • Podium
  • Isnin, 11 Jul 2022

Bekas pemain itu dikatakan ditahan di kawasan pentadbiran IPD Johor Bahru Utara.

BERITA mengenai seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang ditahan kerana dipercayai memiliki dadah jenis methamphetamine, di Johor Bahru pada Ahad lalu sememangnya mengejutkan sukan tanah air.

Difahamkan, suspek yang berusia 36 tahun tersebut pernah menyertai beberapa pasukan dalam saingan Liga Super, selain menyarung jersi Harimau Muda dan Harimau Malaya.

Menurut laporan media tempatan, pemain kelahiran Melaka berkenaan pernah menjulang enam piala Liga Super bersama dua pasukan berbeza antara 2009 hingga 2017.

Anak bekas pemain Selangor itu juga pernah menjulang kejuaraan Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Biarpun mengetahui dengan rapat mengenai identiti suspek yang dimaksudkan, bekas pemain kebangsaan, Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali sebagai K. Soley enggan menyebut namanya.

"Saya dah tahu siapa pemain yang ditangkap itu. Tapi saya rasa lebih baik orang ramai tahu dari laporan media sendiri.

"Ramai yang tanya saya mengenai orang tersebut. Saya memang sangat terkejut kerana saya tak sangka langsung dia boleh berakhir seperti itu "katanya kepada Majoriti.

K. Soley

K. Soley kini mengakui kehidupan sebagai bekas atlet agak sukar.Agensi

Bekas pemain tengah dari Kedah itu tidak menolak sekiranya tekanan hidup selepas bersara menjadi punca kepada pilihan buruk seseorang yang pernah menjadi rakannya itu.

Mengakui kehidupan sebagai bekas atlet boleh diibaratkan sebagai habis madu sepah dibuang, namun K. Soley yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan percaya pada rezeki.

"Mungkin juga kehidupan selepas bersara menjadikan dia terdesak seperti itu. Secara peribadi, saya pun susah, tapi saya rasa ada rezeki ada di mana-mana.

"Dia pemain bintang dulu. Jadi saya rasa dia boleh pilih untuk jadi jurulatih. Pasti nama dia naik balik. Sebab itu saya terkejut dengan jalan yang dipilihnya.

"Bekas atlet memang kebanyakannya hidup susah. Walaupun ada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), namun jumlah bekas atlet itu ramai untuk semua bergantung pada saluran itu," katanya lagi.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram