'Selangor patut jadi pencabar JDT,' bekas pemain sedih Gergasi Merah terkulai layu


  • Podium
  • Isnin, 11 Jul 2022

Penyerapan pemain muda daripada skuad kedua kepada pasukan utama dikatakan sebagai satu tindakan kurang bijak.— Facebook

PRESTASI hambar pasukan Selangor dalam aksi Liga Super musim ini sememangnya menconteng arang ke atas rekodnya sebagai pemegang gelaran juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

Keputusan mengecewakan itu nyata menimbulkan kemarahan penyokong Selangor yang kemudiannya melancarkan kempen di laman sosial dengan mendesak pengurusan pasukan memecat pengendali dari Jerman, Michael Feichtenbeinerd.

Sehingga kini, projek DNA jerman Feichtenbeinerd tidak menunjukkan sebarang kesan positif kepada prestasi keseluruhan skuad Merah Kuning yang telah merekodkan tiga kekalahan dalam sembilan aksi musim ini.

Selangor kini menduduki tangga ketujuh Liga Super, dengan mengumpul 12 mata, dipisahkan 11 mata berbanding pendahulu Johor Darul Takzim (JDT), sekali gus menunjukkan Sang Gergasi Merah mengharungi satu lagi musim suram dan mengecewakan.

Kekecewaan berkenaan dikongsi bekas pemain Selangor, Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali sebagai K. Soley yang mengakui tergamam melihat corak perlawanan pasukan Selangor yang tewas 0-2 ketika menentang Melaka United pada 5 Julai lalu.

K. Soley pernah bermain untuk pasukan Selangor pada musim 2012.Agensi

Menurutnya, skuad Gergasi Merah seharuslah tampil di carta Liga Super sebagai pencabar kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT), bukan di kedudukan ketujuh seperti yang berlaku setakat ini.

"Apa sudah jadi dengan Selangor? Saya terkejut bila menonton perlawanan mereka baru-baru ini. Berbeza sungguh dengan zaman kami dahulu.

"Pada saya, pencarian pemain-pemain perlulah dengan teliti. Penyerapan pemain muda daripada skuad kedua kepada pasukan utama sememangnya satu keputusan yang boleh dikatakan tidak strategik.

"Pada pendapat saya, pemain lama perlulah disulami bersama pemain baharu. Tak adalah pemain-pemain ini cuma lari atas padang tanpa sebarang arah tujuan.

"Pada zaman saya bermain dengan Selangor sekitar tahun 2012 dahulu, pasukan kami bercampur di antara pemain senior dan pemain junior.

"Dengan ini, pemain senior boleh bimbing pemain-pemain muda. Baik daripada segi teknik, mahupun disiplin,"katanya kepada Majoriti.

Piala Asia

K. Soley berharap skuad Harimau Malaya akan terus dahagakan kejayaan. Agensi

Dalam pada itu, bekas pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2008 tersebut memuji hasil sentuhan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon.

"Secara keseluruhannya, saya memang merasakan pemain-pemain Malaysia kini cepat berpuas hati dengan keputusan mereka. Mereka baru sahaja layak ke peringkat akhir Piala Asia, sambutannya seperti sudah menang.

"Bagaimanapun, saya perlu akui terhadap perubahan positif dalam skuad kebangsaan. Kini, para pemain sudah memiliki game play yang jelas. Saya sudah tidak sabar untuk lihat persembahan mereka di Piala Asia nanti," katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Jun lalu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram