Polis simpan 50kg dadah rupanya kaki masjid, sering ajak solat jemaah


  • Benua
  • Isnin, 11 Jul 2022

Suspek (kiri) ketika ditahan bersama 50kg dadah jenis syabu di Kota Dumai, Indonesia. — Agensi

KES melibatkan seorang pegawai polis yang ditangkap kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 50 kilogram di Kota Dumai, Indonesia masih lagi menjadi tumpuan masyarakat.

Malah, berita penangkapan suspek oleh Badan Narkotika Nasional (BNN) juga mengejutkan ahli keluarganya.

Perkara itu kerana, suspek dikenali oleh ahli keluarganya sebagai seorang yang sangat taat dengan ajaran Islam dan sering melaksanakan solat lima waktu berjemaah di masjid.

"Dia (suspek) tidak pernah tinggal solat. Malah, dia sentiasa mengingatkan kami untuk solat jemaah di masjid.

"Sebab itu kami seolah tidak percaya yang dia melakukan perkara itu. Malah, hingga ke hari ini, kami masih tidak tahu bagaimana perkara itu boleh terjadi," katanya.

Terdahulu, suspek ditahan pada 8 Julai lalu di kawasan letak kenderaan sebuah hotel di Kota Dumai, Indonesia.

Menurut ahli keluarganya lagi, suspek sebelum ditangkap sempat ke Pekanbaru bersama ibunya untuk mencari kelengkapan sekolah anaknya.

"Malah, suspek sempat bermalam di Pekanbaru bersama ibunya sebelum pulang semula ke rumahnya.

"Kami sendiri tidak tahu bila suspek ke Kota Dumai," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram