Remaja samseng buli, terajang murid perempuan bertudung di Sabah


  • Tular
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Tangkap layar rakaman video pergaduhan dipercayai melibatkan pelajar perempuan SMK Inanam yang tular di media sosial sejak Jumaat.

TULAR di media sosial mengenai kejadian buli, dipercayai membabitkan murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam rakaman berdurasi 21 saat itu kelihatan seorang murid perempuan bertudung ditumbuk oleh seorang lagi pelajar yang memakai pakaian sukan serba hitam.

Mangsa terlebih dulu dilihat dikepung sekumpulan pelajar lain sebelum salah seorang daripada mereka mengepit kepalanya, manakala seorang lagi memegang tangan supaya mangsa tidak dapat melawan.

Rakaman itu kemudian menunjukkan mangsa ditumbuk bertubi-tubi di belakang badan oleh remaja perempuan tersebut.

Setelah itu, mangsa turut diterajang dan disepak hingga jatuh sambil diperhatikan rakan-rakan lain.

Rakaman video insiden berkenaan yang tular di media sosial

"Dahlah b****, pengsan anak orang," kedengaran salah seorang daripada kumpulan remaja itu bersuara.

Seorang lagi daripada mereka yang kelihatan memakai baju berwarna hijau dengan tulisan SMK Inanam di bahagian belakang, cuba menenangkan keadaan.

Remaja itu yang pada masa sama kelihatan memegang sebatang rokok, duduk melutut di tepi mangsa sambil meminta rakannya berhenti memukul murid terbabit.

"Eh sudahlah...lunyai kau tendang," katanya.

Mangsa yang berbaju biru dilihat hanya terbaring dan tidak melawan.

Rakaman video itu dikongsikan Facebook Borneo Voice pada Jumaat sebelum tular di media sosial.

Berdasarkan komen netizen, insiden itu juga didakwa baru saja berlaku melibatkan pelajar sekolah terbabit dan bukannya video lama.

Namun, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa dan pihak sekolah berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram