Sudah seminggu bekalan gula di Sabah berkurangan


  • Primer
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Sabah mengalami kekurangan gula sejak seminggu yang lalu. — Gambar hiasan

KEKURANGAN bekalan gula di negeri ini dijangka pulih dalam masa terdekat selepas mengalami gangguan berikutan kapal yang membawa bahan itu lewat tiba di Sabah baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui bahawa memang ada berlaku gangguan bekalan gula di seluruh Sabah sejak minggu lalu.

"Saya memang sedar bahawa minggu lalu dan minggu ini berlaku kekurangan gula di Sabah dan saya telahpun berhubung dengan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Dimaklumkan antara puncanya adalah disebabkan gula yang datang dari Semenanjung untuk dihantar ke Sabah mengalami isu perkapalan. Jadi sebab itulah, bekalan gula putih mengalami sedikit gangguan, namun sepatutnya bekalan gula sudah pulih," katanya.

Sebelum itu, tinjauan mendapati hampir semua premis di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan tiada bekalan gula sejak minggu lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis penyerahan lembu korban, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat berkata, sebanyak 20 ekor lembu disumbangkan oleh pejabat Dun beliau kepada masjid dan agensi pasukan keselamatan di sekitar Putatan sempena sambutan ibadat korban tahun ini.

"Selepas dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, sumbangan ini adalah tanda kita meraikan kesyukuran memasuki fasa pemulihan yang bermula 1 April lalu.

"Selain itu, kita juga ingin mengimarahkan ibadat korban di kalangan masyarakat Islam serta mengeratkan hubungan dengan petugas pasukan keselamatan yang banyak membantu sepanjang pandemik," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram