'Rombak 3 benda dulu sebelum pecat head coach'


  • Podium
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Feichtenbeiner (gambar) didesak untuk mengundurkan diri daripada melatih skuad Red Giants susulan kekalahan demi kekalahan yang menimpa pasukan itu. — Facebook/Selangor FC

DALAM arena bola sepak, prestasi tidak cemerlang lazimnya mendorong pemecatan seseorang jurulatih itu daripada terus diberikan kepercayaan untuk mengendalikan sebuah pasukan bagi memuaskan hati pihak pengurusan ataupun menggembirakan pihak penyokong.

Seperti situasi yang berlaku dalam bola sepak tempatan ketika ini apabila pengendali jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner didesak untuk mengundurkan diri daripada melatih skuad Red Giants susulan kekalahan demi kekalahan yang menimpa pasukan itu.

out

Antara desakan penyokong di media sosial yang merayu agar Feichtenbeiner dipecat. — Facebook

Namun hakikatnya adakah dengan memecat jurulatih adalah jalan terbaik buat pasukan seperti Selangor FC keluar daripada kemelut itu?

Bagi penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, pasukan yang berada dalam prestasi kurang cemerlang seperti Selangor FC sepatutnya mengambil kira faktor lain selain daripada terus membuat keputusan memecat jurulatih.

Menurut Pekan, faktor lain yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan ialah individu yang menguruskan pasukan, barisan pembantu jurulatih, selain pemilihan serta prestasi pemain.

"Pengurusan pasukan jangan lihat satu faktor sahaja iaitu jurulatih kerana perkara lain yang berkaitan serta mungkin menyumbang juga perlu dilihat.

"Faktor pertama ialah pasukan pengurusan keseluruhan. Tengok pengurusnya atau orang yang tanggungjawab uruskan pasukan. Selepas itu, lihat kepada supporting staff seperti pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan, jurulatih penjaga goal. Malah, fisioterapi pun kena diberi perhatian.

"Pemilihan pemain sama ada tempatan atau import. Kadang-kadang tidak adil jika ketua jurulatih datang tapi pemain sudah tersedia yang mana sudah dipilih oleh pihak pengurusan. Perkara itu berlaku pada Pahang pada musim lalu," katanya kepada Majoriti.

Sri Pahang FC pada musim lalu mengumumkan bahawa mereka merehatkan ketua jurulatih, Thomas Dooley selepas dua perlawanan berlangsung setelah pengendali dari Amerika Syarikat itu mencatat dua kekalahan berturut-turut ketika menentang Selangor dan Perak.

c

Dooley hanya sempat memimpin Sri Pahang FC untuk dua perlawanan musim lalu. — Facebook/Sri Pahang

Mengulas lanjut, dalam kes Selangor FC, Pekan begitupun melihat bahawa agak mustahil jika Feichtenbeiner tidak terlibat dalam pemilihan pemain kerana jurulatih dari Jerman itu sebelum ini melatih Selangor II sejak 2020.

Tambahnya, pihak pengurusan mungkin boleh memilih untuk merehatkan ataupun memberi amaran kepada ketua jurulatih itu bagi mengelak perkara berbangkit seperti masalah pampasan.

"Dalam konteks ini memang jurulatih bertanggungjawab. Jurulatih akan diberi tindakan sama ada amaran ataupun mungkin direhatkan. Jika tak buat seperti itu dan tiba-tiba nak pecat sahaja, risau ia melanggar perjanjian kontrak.

"Direhatkan tiada tempoh. Jika kontrak sampai hujung tahun, tidak boleh terus buang kerana perlu membayar pampasan," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram