Piala FA: Ramai optimis Ifedayo cergas 100 peratus jumpa JDT


  • Podium
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Ifedayo diharapkan cergas sepenuhnya pada suku akhir Piala FA berdepan JDT selepas tidak beraksi ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super awal bulan ini. — Facebook/Melaka United

BARU-BARU ini, tular di laman sosial menyatakan bahawa penyerang Melaka United, Ifedayo Olusegun merupakan pemain pinjaman dan tidak dapat diturunkan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super pada 2 Julai lepas.

Namun, pihak pengurusan Melaka United menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang dilihat diputarbelit daripada kenyataan sebenar oleh pengendali Melaka United, Mohd Asri Ninggal.

Pada malam pertemuan menentang pasukan JDT tempoh hari, penyerang kelahiran Nigeria itu rupa-rupanya dilaporkan tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan hamstring.

if_1651141936

Ifedayo merupakan pemenang kasut emas Liga Super musim lalu bersama pasukan Selangor. — Facebook Melaka United

Bagaimanapun, Ifedayo kembali membarisi kesebelasan utama pasukan Melaka United ketika berdepan Selangor sehingga membuatkan orang ramai memberikan pujian terhadap pasukan perubatan Melaka United kerana berjaya memulihkan kecederaan hamstring dalam masa yang singkat.

Tidak hairanlah menjelang pertembungan antara Melaka United FC dan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, JDT akan menjadi antara aksi tumpuan pada saingan suku akhir Piala FA musim ini pada 23 Julai depan.

Berdasarkan format undian, perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka sekali gus memberikan kelebihan beraksi di laman sendiri kepada skuad Sang Kancil yang berjaya mengikat JDT 1-1 pada aksi Liga Super di venue sama sebelum ini.

Di ruangan komen media sosial pula, penyokong bola sepak tempatan optimis pemenang kasut emas musim lalu, Ifedayo cergas 100 peratus bertemu pasukan Harimau Selatan dalam aksi suku akhir Piala FA itu nanti.

Melaka111

Penyokong bola sepak tempatan mahu menyaksikan Ifedayo cergas 100 peratus bertemu pasukan Harimau Selatan nanti. — Facebook Melaka United

"Harapnya Ifedayo boleh bermain pada perlawanan suku akhir nanti, tak nak tiba-tiba dia cedera pula bila berjumpa JDT nanti," ujar Saiful Rahman.

"Misi balas dendam pasukan Melaka ke atas JDT, hari itu Ifedayo tak ada sebab itu Sony Norde tak ada pair dekat bahagian serangan, mungkin bertemu JDT nanti perlawanan lagi rancak," kata Mahadzir Muhammad.

"Tak sabar nak tengok game Melaka lawan JDT, sebab haritu bila tengok Ifedayo lawan Selangor bahagian serangan macam dah padu, harapnya tiada lah kecederaan last-last minit permainan," jelas Asri Muhammad.

"Gameplay Melaka waktu lawan Selangor memang terbaik, harap Sony Norde dan Ifedayo cergas bertemu pasukan JDT di saingan suku akhir Piala FA," luah Nasaruddin Naza.

Sebelum ini Pengendali Melaka United, Mohd Asri Ninggal menjangkakan pasukannya akan menempuh cabaran getir dan penuh berliku berdepan skuad Harimau Selatan, namun berharap barisan anak buahnya dapat meraih kejayaan dengan sokongan padu penyokong sendiri sekali gus menjadi semifinalis Piala FA edisi kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram