
SEORANG penghantar makanan mendapat pujian warganet kerana sanggup menangguhkan kerjanya demi membantu lelaki warga emas yang rebah di tepi jalan.
Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, Mohd Sazwandi Sumarti, 26, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan untuk menghantar makanan ke dua lokasi berbeza.
"Saya berada di kawasan jambatan Lido, Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 4.40 petang dan terlihat lelaki warga emas itu.
"Saya lihat dia sedang duduk di tepi jalan, kelihatan seperti hendak terjatuh ke atas jalan.
"Saya perasan tiada siapa yang pedulikan warga emas itu dan rasa serba salah jika membiarkannya begitu," katanya.
Sazwandi berkata, ketika menghampiri mangsa, dia mendapati lelaki itu sudah tidak sedarkan diri dan terdapat buih serta darah di mulutnya.
Malah, katanya, terdapat juga kantung air kencing yang melekat pada badan lelaki itu.
"Saya segera mengangkat dan membawanya ke tepi kerana terlalu banyak kenderaan ketika itu.
"Saya bertanya ke mana dia pergi dan sama ada dia sakit," kata Sazwandi sambil menambah bahawa dia menghantar mesej kepada pelanggan berhubung kelewatannya kerana perlu membantu seseorang.
Lelaki itu memberitahu Sazwandi bahawa dia baru sahaja mendapatkan ubat dari Klinik Luyang di kawasan berhampiran dan sedang berjalan kaki untuk pulang ke Tanjung Aru, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.
Ketika itu katanya, dua orang penghantar makanan dan seorang pengguna jalan raya turut membantu dan menghubungi ambulans.
"Mangsa memberitahu yang dia mempunyai anak-anak dan mahu pulang ke rumah tetapi kami menahannya untuk tunggu sehingga ambulans tiba.
"Tidak lama selepas itu, ambulans tiba dan mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan," kata Sazwandi.
Sazwandi yang sudah hampir dua tahun menjadi penghantar makanan kemudian bergegas melakukan kerjanya semula.
"Saya takut pelanggan marah atau membuat rungutan kepada syarikat atas kelewatan menghantar makanan tetapi mereka sangat memahami," katanya.
Dalam pada itu, Sazwandi berkata, dia berasa gembira kerana dapat membantu mangsa tetapi dalam masa sama berasa sedih kerana terdapat ramai yang masih tidak mahu membantu.
"Tidak rugi untuk kita prihatin dan rasa belas kasihan terhadap sesama manusia," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram