'Makan telur sedikit...orang berjawatan tinggi tak patut buat kenyataan begini'


Telur dianggap sebagai sumber protein murah bagi keluarga berpendapatan rendah. — Gambar hiasan

KOMEN seorang pegawai kerajaan yang memberitahu orang ramai untuk makan sedikit telur jika mereka tidak mampu berikutan kenaikan harga baru-baru ini menimbulkan kritikan dalam kalangan netizen di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar yang dilihat dalam satu temu bual video memberitahu orang ramai supaya mengurangkan makan telur.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan ramai di media sosial dengan beberapa orang mengatakan dia tidak memahami kesusahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah.

Seorang pengguna Twitter, Wani berkata: "Saya rasa bagi ramai yang tidak mampu (makanan lain seperti ikan), telur adalah sumber protein ruji mereka. Tetapi sekarang, ia juga mahal. Bagaimana mereka akan menghadapinya? Dengan makan kurang atau kelaparan?

"Masalah makanan sudah menjadi masalah besar ... tetapi dengan kenaikan harga semasa, saya tidak dapat membayangkan betapa teruknya keadaan akan datang."

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nurul Safidah berkata, ada keluarga yang hidup dengan telur sebagai santapan utama kerana itu sahaja yang mereka mampu.

"Jika harga telur terus naik, bagaimana nasib mereka?" soalnya, sambil menambah bahawa orang yang mempunyai jawatan tinggi tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.

Zidan Ananda berkata, kenyataan Norena menunjukkan bahawa dia tidak menyedari bahawa telur merupakan hidangan utama bagi mereka yang sedang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa.

Seorang lagi pengguna internet bernama Pavithra Raja berkata, tidak semua mampu menanggung kenaikan harga dan menggesa pegawai kementerian berfikir sebelum membuat kenyataan sedemikian.

Dalam video tular pada Jumaat (2 Julai), Norena kedengaran berkata, jika pengguna tahu harga telur semakin meningkat, mereka sepatutnya mengurangkan pengambilan bahan mentah itu.

“Kalau dalam seminggu kebiasaannya makan sekitar 20 biji telur, boleh kurangkan kepada 10 atau 15 biji. Tiada masalah," katanya kepada media selepas melawat pasar tempatan di Melaka.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Azman Mohd Yusof kemudiannya berkata, Norena mungkin ada cara tersendiri yang tidak begitu diterima oleh orang ramai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram