Calon tertua PRU meninggal dunia


  • Primer
  • Ahad, 03 Jul 2022

Tok Mun menjadi calon wanita tertua yang bertanding dalam PRU12. — Sinar Harian

BEKAS calon Bebas yang juga calon wanita tertua Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun yang berusia 103 tahun, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol, Terengganu pada Ahad.

Cucunya, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, berkata, neneknya itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.30 petang pada Ahad selepas tahap kesihatannya merosot sejak tiga atau empat bulan lepas disebabkan pelbagai komplikasi sakit tua.

"Allahyarham memang tinggal bersendirian di rumahnya tapi ramai anak saudara dan cucu saudara yang tinggal berdekatan datang menjaganya secara bergilir kerana Tok Mun enggan tinggal di rumah lain.

"Rutin harian kami memang menghantar makanan, membersihkan dan menemaninya tidur, namun petang tadi saya terima panggilan telefon yang memaklumkan Tok Mun meninggal dunia," katanya.

Tuan Norazlina berkata, neneknya itu baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 103 pada 24 Jun lepas.

Beliau menyifatkan neneknya itu sebagai seorang yang sangat berani, berprinsip serta bercita-cita tinggi untuk membantu masyarakat yang dibuktikan menerusi penyertaannya sebagai calon pilihan raya.

Menurutnya, jenazah Tok Mun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol pada pukul 10 pagi Isnin.

Sejarah penglibatan warga emas itu sebagai calon Bebas pada PRU12 dan PRU13 pernah menggemparkan negara, malah mendapat liputan media antarabangsa apabila berjaya 'memecah undi' tokoh Pas pada PRU12, iaitu Mohamad Sabu.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, selain Tok Mun dan Mohamad, calon Barisan Nasional (BN) iaitu Allahyarham Datuk Razali Ismail menang tipis dengan majoriti 628 undi.

Tok Mun yang hilang wang pertaruhan memperoleh 685 undi, manakala Razali menang dengan 32,562 undi sementara Mohamad meraih 31,934 undi.

Pada PRU13 pula, Tok Mun yang mencabar calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong dan calon Pas, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad di Parlimen sama, sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya meraih 182 undi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram