Spekulasi Ronaldo tinggalkan United untungkan Liverpool


  • Podium
  • Ahad, 03 Jul 2022

Cristiano Ronaldo dikhabarkan mahu meninggalkan United meskipun baru semusim kembali ke Old Trafford. — Agensi

SEMENTARA penyokong Manchester United bersedih dengan hasrat pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo yang dikhabarkan mahu meninggalkan Old Trafford dalam waktu terdekat rentetan prestasi hambar pasukan tersebut musim lepas, lain pula ceritanya dengan penyokong Liverpool yang seakan-akan bersorak riang ketika ini.

Mana tidaknya, pemain Portugal kesayangan pasukan The Red Devils itu nampaknya benar-benar tawar hati untuk meneruskan kontrak apabila dilaporkan mahu meninggalkan pasukan tersebut untuk mengekalkan aksinya dalam saingan tertinggi Eropah iaitu Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, keputusan saat akhir penyerang berusia 37 tahun itu sebenarnya memberi kelebihan kepada Liverpool apabila timbul spekulasi bahawa Manchester United hampir menandatangani pemain bintang baharu mereka, Darwin Nunez sekiranya Ronaldo ingin keluar lebih awal musim lepas.

Manchester United dikhabarkan cuba meminang Nunez yang kini hangat di pasaran kelab-kelab besar Eropah, namun Liverpool berjaya menyambar khidmat pemain muda berusia 22 tahun tersebut dengan anggaran £ 65 juta (RM 346.7 juta) baru-baru ini.

Bekas pemain Benfica itu berjaya meledak gol sebanyak 34 kali dalam 41 perlawanan sepanjang pertandingan musim lalu termasuklah satu gol di suku akhir Liga Juara-Juara ketika menentang Liverpool.

Walaupun dilaporkan berminat untuk menyertai The Red Devils, namun Nunez memutuskan untuk menyertai Liverpool dan berharap dapat membantu mereka mencapai lebih banyak kejayaan selepas pasukan itu memenangi Piala FA dan Piala Liga musim lalu.

Jika pemergian Ronaldo benar-benar berlaku, Manchester United diibaratkan bagai jatuh ditimpa tangga apabila turut kehilangan Edinson Cavani setelah pemain tersebut tamat kontrak bulan lalu sekali gus menyebabkan pasukan tersebut tempang tanpa penyerang senior pada permulaan musim nanti.

Sejak kembali ke United musim lalu, Ronaldo berjaya menjaringkan 18 gol dalam 30 penampilan domestik serta Liga Juara-Juara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram