SEORANG lelaki berusia 22 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang tidur di atas tembok di Penjaringan, Jakarta Utara, Indonesia pada Ahad.
Mangsa, Erciko Ramadan Fadillah sebelum itu tidur di atas tembok laut itu bersama rakan-rakannya kira-kira pukul 5 pagi.
Ketua Pencarian dan Pertolongan Jakarta, Fazzil berkata, mangsa secara tidak sengaja telah terjatuh ke dalam laut semasa sedang tidur.
"Beberapa orang rakannya menyedari mangsa terjatuh dan cuba memberikan bantuan namun gagal," katanya yang memaklumkan mangsa masih belum ditemui sehingga kini.
Menurut Fazzil, pihaknya kini bersama dengan beberapa pasukan penyelamat yang lain sedang giat berusaha untuk mencari mangsa.
Jelasnya, usaha mengesan mangsa juga dilakukan dengan menggunakan bot sejauh tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Selain itu katanya, unit menyelam juga dihantar untuk mengesan mangsa dengan radius kedalaman 10 meter. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram