‘Takkan Darren Lok je?' — Kurang minit permainan punca ketandusan 'roh' penyerang tulen


  • Podium
  • Isnin, 04 Jul 2022

Harimau Malaya dilihat masih ketandusan penyerang tulen. — AP

TIDAK dinafikan, kancah bola sepak tempatan kini sudah mula mendapat respons positif daripada peminat dengan pelbagai kejayaan yang ditempa sebelum ini.

Bukan sahaja kejayaan skuad kebangsaan yang layak ke Piala Asia 2023 selepas menanti selama 42 tahun, tetapi pencapaian kelab dalam Liga Super juga mendapat perhatian ramai.

Ia dapat dilihat menerusi kejayaan Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kuala Lumpur City (KL City FC) setelah muncul tiga kelab Liga Super yang berjaya bersaing di peringkat antarabangsa musim ini.

Namun, bila melihat kepada statistik dalam Liga Super, timbul rasa sedikit terkilan kerana hanya seorang nama penyerang tempatan yang berada dalam senarai lima penjaring terbanyak setakat ini iaitu penyerang warisan Harimau Malaya, Darren Lok.

Bergson da Silva of Johor Darul Ta'zim , center, fights for the ball against Su Tianshi, left, and Ye Guochen of Guangzhou Evergrande during their AFC Champions League group I soccer match at Sultan Ibrahim Stadium in Johor, Malaysia, Friday, April 15, 2022. (AP Photo/Vincent Thian)

Penyerang JDT, Bergson Da Silva (tengah) kini mendahuli carta penjaring gol terbanyak Liga Super.

Untuk rekod, penyerang import Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva merupakan penjaring terbanyak dengan jumlah gol sebanyak 13 jaringan setakat ini, diikuti penyerang import Selangor, Herlison Caion (10), rakan sepasukan Bergson, Fernando Forestieri (7), penyerang import Kedah, Ronald Ngah Wanja (7) dan Darren Lok (5).

Ternyata, perkara ini cukup membimbangkan kerana tiada seorang pun penyerang tulen yang boleh diharapkan beraksi untuk skuad kebangsaan berdasarkan statistik Liga Super itu kecuali Darren Lok.

Selain Darren, prestasi penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani dalam aksi Liga Premier juga boleh dibanggakan dengan lima jaringan setakat ini, namun ia seolah-olah belum cukup untuk memikat hati bos Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Mengulas mengenai perkara ini, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, antara puncanya adalah disebabkan kurang minit perlawanan.

"Sejak ada kuota naturalisasi, warisan, Asean dan sebagainya, bakat pemain tempatan ibarat hanya sesuai duduk di Liga Premier atau sebagai pemain simpanan.

"Pemain tempatan sangat kurang minit perlawanan. Tidak hairanlah jika mereka tercari-cari roh dan semangat sebagai penyerang tulen," katanya kepada Majoriti.

Darren-Lok-kembali-skuad-kebangsaan-Malaysia-Hong-Kong (1)

Hanya Darren Lok, pemain tempatan yang berada dalam senarai lima penjaring gol terbanyak Liga Super. — Facebook

Perkara ini katanya, tidak sama ketika bekas pemain kebangsaan, Safee Sali menjadi penyerang hebat negara sedikit masa lalu.

"Ketika itu Persatuan Bola Sepak (FAM) menutup pintu kepada pemain import. Jadi, semua pasukan yang bersaing dalam liga tidak ada pilihan lain kecuali membangunkan pemain tempatan dan mencari pemain muda.

"Bermula selepas Malaysia menang emas di Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010 menyaksikan pemain tempatan mula 'naik harga' dan menjadi rebutan kelab," katanya.

Menurut Mohd Sadek, apa yang perlu dilakukan kini adalah supaya semua pihak termasuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kelab termasuk di Liga M3 memberi peluang kepada pemain muda tempatan untuk bermain lebih kerap.

Pada masa sama, jelasnya, pemain muda juga harus diberikan peluang untuk menjadi pemain gantian khususnya kelab Liga Super kerana dengan cara itu, pemain akan matang kerana mempunyai minit perlawanan yang cukup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram