GBX Esports idam lakar sejarah di pentas FIFAe Club World Cup 2022 Denmark


  • eSports
  • Isnin, 04 Jul 2022

PIHAK pengurusan mengharapkan GBX Esports mampu mencipta kejutan di dalam kejohanan tersebut.

PADA Jun lepas, pasukan GBX Esports mencipta sejarah apabila muncul pasukan pertama Malaysia layak ke kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 20 Julai hingga 23 Julai depan.

Pasukan GBX Esports yang dianggotai oleh Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq) dan Ahmad Akmal Abd Rafil (AkmalJHD) berjaya menempah slot ke FIFAe Club World Cup 2022 apabila menewaskan satu lagi pasukan GBX Esports pada bulan lalu.

Sejurus memenangi perlawanan itu, GBX Esports mengesahkan slot itu kerana dua pasukan terbaik layak untuk ke kejohanan itu.

Menurut Pengarah Urusannya, Muhammad Fazli Razak, GBX Esports sedang melakukan persiapan yang begitu rapi supaya tidak menjadi pasukan pelengkap jadual kerana ini merupakan debut mereka di dalam kejohanan tersebut.

"Pemain-pemain GBX kini sedang berlatih secara individu untuk mempertajamkan lagi skill mereka dan pihak pengurusan juga ada mengadakan perlawanan persahabatan dengan player negara Asia seperti Singapura, India dan lain-lain lagi.

"Pasukan kami juga sedang menilai dan mengkaji cara permainan pasukan lain berdasarkan perlawanan terdahulu. Selain itu, kami juga akan membuat bootcamp di Eropah sebelum kejohanan itu berlangsung," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, pihak pengurusan mengharapkan GBX Esports mampu mencipta kejutan di dalam kejohanan tersebut walaupun sudah hampir dua tahun kejohanan seperti itu tidak dapat dijalankan kerana pandemik Covid-19.

"Kami hanya mengharapkan suatu kejutan dapat dilakukan oleh pemain GBX dan jika perkara itu berlaku mungkin rekod baharu akan dicipta di kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 kali ini.

"Berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh pemain GBX, mereka sentiasa bersedia untuk cabaran ini dan mereka menantikan kejohanan offline untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka," ujarnya.

Menurutnya lagi, format pertandingan kejohanan ini hanya mengumpul 24 pasukan terbaik dari seluruh dunia dan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan GBX adalah satu-satunya wakil dari negara Malaysia.

"Undian akan dilakukan pada 4 Julai, daripada 24 pasukan, pasukan ini akan diundi ke empat kumpulan (setiap kumpulan mempunyai enam pasukan). Pasukan empat teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati," jelasnya.

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 menawarkan hadiah bernilai USD 300,000 (RM 1.2 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram