SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari balkoni kondominium di tingkat 29 di New York, Amerika Syarikat, dalam satu insiden pagi Sabtu.
Menurut laporan ABC News, pegawai polis menemukan kanak-kanak itu dalam keadaan cedera parah di tingkat tiga kondominium berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan. Kondominium tersebut terletak di Taino Towers di Harlem.
Menurut jurucakap polis kepada agensi berita AP, kanak-kanak itu dipercayai keluar ke balkoni menerusi tingkap.
"Bagaimana mangsa terjatuh dan macam mana ia berlaku sedang disiasat pada masa ini,” kata jurucakap polis kepada The Associated Press.
Kanak-kanak yang memakai baju-T berwarna kuning dan mengenakan lampin itu kemudiannya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pihak berkuasa tempatan New York City mewajibkan pemilik kediaman tinggi supaya memasang tingkap keselamatan sekiranya tinggal bersama kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.
Dalam kes yang berlaku, pihak berkuasa belum memastikan sama ada unit kediaman berkenaan sudah dipasang tingkap keselamatan atau sebaliknya.
Dalam pada itu, polis turut menyoal siasat dua individu yang berada di dalam rumah tersebut ketika mangsa terjatuh.
Seorang saksi, Nidia Cordero yang tinggal di tingkat 34 memberitahu, dia tiba-tiba terdengar suara ibu mangsa menjerit.
“Apabila saya melihat keluar, saya ternampak kanak-kanak itu berada di balkoni,” katanya.
Seorang lagi saksi menceritakan, dia terdengar bunyi hentaman yang kuat apabila kanak-kanak itu terjatuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram