Polis siasat kes budak tercampak keluar kereta di Rawang


Tangkap layar video tular memaparkan seorang kanak-kanak tercampak dari sebuah kereta sewaktu kenderaan itu sedang membuat pusingan U.

POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan yang sedang bergerak seperti tular di media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak berkenaan dengan cara yang boleh menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai perempuan tercampak dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi sewaktu kenderaan itu sedang membuat pusingan U.

Mengulas lanjut, Zainal Mohamed berkata, kejadian dikenal pasti berlaku di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang.

"Dalam kejadian tersebut, kereta yang dinaiki oleh mangsa telah membuat pusingan U di simpang lampu isyarat, kawasan Green Valley, Jalan Tasik Puteri Rawang hingga mengakibatkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki.

"Seorang lelaki telah membantu mengangkat mangsa yang tertiarap di atas jalan dan kemudian diserahkan kepada seorang wanita perempuan dipercayai ibu mangsa," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan