Nahas maut 3 beranak tiada unsur jenayah, polis tunggu laporan Puspakom


  • 112
  • Isnin, 27 Jun 2022

Keadaan kereta yang terjunam ke dalam sungai sehingga mengorbankan tiga beranak. — Sinar Harian

POLIS masih menunggu laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berkaitan kereta Proton Persona yang terjunam dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, Kedah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kenderaan terbabit telah dihantar ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan mekanikal termasuk berkaitan brek kereta.

Katanya, proses pemeriksaan itu mengambil masa kira-kira seminggu untuk membolehkan punca sebenar diketahui sekiranya terdapat masalah pada kenderaan.

"Kereta itu masuk dalam air ketika kejadian, jadi memang Puspakom perlukan masa untuk periksa satu persatu bahagian dalaman kereta," katanya.

Shamsudin berkata, beliau menolak andaian wujudnya unsur jenayah atau mangsa dikejar ketika kejadian.

"Kalau kita lihat kesan di lokasi, ia memang kemalangan biasa dan mangsa terbabas ketika itu.

"Sama ada brek kereta tidak berfungsi atau dia bawa laju dan terlelap, kita tidak pasti yang itu. Apa pun kita tunggu laporan seterusnya dari Puspakom," katanya.

Beliau turut memohon saksi kejadian tampil untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk melancarkan proses siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang pada Sabtu, Masyitoh Ibrahim, 37, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, yang menaiki kereta dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Datuk Syed Omar yang merupakan sempadan daerah Kuala Muda dan Baling.

Kereta mangsa berjaya ditarik naik pada pukul 3.30 pagi pada Ahad, bagaimanapun ketiga-tiga mangsa ditemukan lemas dalam keadaan seakan-akan berpelukan di bahagian belakang kereta.

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Masjid Az- Zaitun Kampung Lengkuas, Baling pada Ahad. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram