SEORANG pegawai farmasi di Hospital Setiu maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu dekat Sungai Tarom di Setiu, Terengganu pada Jumaat.
Mangsa, Nurul Atiqah Awang Lah, 36, disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam ketika dirawat di Hospital Setiu.
Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 malam itu membabitkan Perodua Myvi, Perodua Alza dan sebuah treler.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari Pekan Permaisuri menghala ke Sungai Tarom hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar Produa Alza yang ketika itu berada di simpang tiga Sungai Tarom menghala ke laluan utama.
"Pemandu treler yang datang dari Sungai Tong menghala ke Rantau Panjang, Kelantan terkejut melihat kejadian itu menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di laluan bertentangan dan melanggar papan tanda jalan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut Afandi, kesemua mangsa terlibat termasuk telah dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.
"Dua anak mangsa iaitu Tengku Daim Hadi Tengku Amirul Kamal, 6, dan Tengku Zaim Zuhdi Tengku Amirul Kamal, 9, yang turut mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Setiu," katanya.
Dalam pada itu, Afandi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
"Kesemua pengguna jalan raya diseru supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mengikut peraturan had laju yang telah ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram