Pantang maut sebelum ajal, pelajar hanya cedera motosikal terperosok bawah lori, 3 kereta remuk nahas di Pasir Puteh


  • Tular
  • Rabu, 22 Jun 2022

Tangkap layar video tular memaparkan orang ramai cuba mengeluarkan motosikal yang tersangkut pada bahagian hadapan sebuah lori.

SEBUAH motosikal yang dipercayai ditunggang oleh pelajar sekolah terperosok di bawah sebuah lori, dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di hadapan pasar borong Pasir Puteh, Kelantan pada Rabu pagi.

Menerusi sebuah video tular, orang ramai dilihat cuba mengeluarkan motosikal yang tersangkut di bahagian hadapan lori itu.

Difahamkan, pelajar sekolah itu mengalami patah paha akibat kemalangan tersebut.

Dalam video berasingan, sebuah kereta berwarna merah yang berada di belakang lori tersebut dilihat remuk di bahagian tepi.

Selain itu, sebuah kereta Toyota Innova pula didapati remuk pada bahagian belakang, begitu juga kereta Toyota Vellfire yang bahagian belakangnya remuk selain cermin belakangnya pecah.

Kedua-kedua kenderaan itu berada di hadapan lori terbabit.

Menurut penduduk tempatan, kebanyakan lori yang melalui kawasan itu kerap membawa kenderaan secara laju, seterusnya menyebabkan kegusaran tentang keselamatan orang ramai.

Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Majoriti sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berwajib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

motosikal, nahas, Pasir Puteh,