Lif rosak di KTMB Seremban, wanita berkerusi roda terpaksa dipapah turun tangga


  • Tular
  • Rabu, 29 Jun 2022

Tangkap layar situasi wanita berkerusi roda terpaksa dipapah menuruni tangga ekoran lif rosak.

ISU kerosakan lif di lokasi pengangkutan awam seperti keretapi sebelum ini sudah banyak kali tular di media sosial kerana menyusahkan golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan.

Baru-baru ini, kejadian sama tular lagi dan kali ini seorang pengguna Twitter, ashneko02 meluahkan rasa kecewa apabila seorang wanita berkerusi roda terpaksa berdepan kesukaran disebabkan lif yg rosak.

Tiada pilihan lain selain turun melalui tangga sedia ada di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban, Negeri Sembilan, wanita itu terpaksa meminta pertolongan daripada petugas keselamatan di stesen tersebut.

ktmb

Tangkap layar pertolongan daripada petugas keselamatan untuk membawa wanita berkerusi roda menuruni tangga.

"Daripada nak awal, jadi lambat sebab kemudahan lif rosak. Terpaksalah minta pertolongan polis bantuan. Terima kasih kepada polis bantuan KTMB Seremban. Kalau tiada mereka, memang melopong sahajalah," katanya.

Turut dimuat naik ialah sekeping gambar yang memaparkan usaha tiga polis bantuan untuk membawa wanita berkerusi roda itu menuruni tangga.

Sementara itu, beberapa pengguna pengangkutan awam yang lain turut meluahkan perkara sama berkaitan kemudahan yang rosak dan tidak dibaiki.

Archana Vashisht berkata, lif di stesen tersebut didapati sudah rosak sejak dia menggunakan pengangkutan awam itu pada 2014.

"Harga tiket makin naik, tetapi tiada penambahbaikan dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, satu tindakan segera telah diambil oleh pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang turun ke lokasi berkenaan untuk membaiki lif tersebut serta memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram