Penumpang menjerit, bas hampir langgar lori gara-gara sikap degil pemandu


  • Tular
  • Rabu, 29 Jun 2022

Keadaan penumpang yang diturunkan di lebuh raya. — TikTok

APALAH nasib badan apabila hasrat untuk menggunakan kemudahan awam tetapi akhirnya bertukar pengalaman tragis apabila ditinggalkan di tepi jalan.

Perkara itu berlaku ke atas seorang wanita yang dikenali sebagai Fikah.

Wanita itu dikatakan menaiki sebuah bas persiaran dan dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Kuala Lumpur.

Tanpa disangka, dia berdepan situasi mencemaskan apabila pemandu bas terbabit mula memandu secara berbahaya sehingga dikatakan mampu mengakibatkan kemalangan jalan raya.

penumpang tepi jalan2

Keadaan penumpang yang terpaksa menunggu selama 40 minit di tepi jalan lebuh raya. — TikTok

"Bukan laju, tetapi seolah-olah macam mengantuk dan nak langgar kenderaan lain. Kami minta dia berhenti kalau dia mengantuk. Kemudian dia berkeras untuk teruskan.

"Tidak dapat ambil video keadaan dalam bas masa itu. Memang masing-masing sudah menjerit takut. Saya yang di tepi tingkap memang saksi hampir langgar lori minyak," jelasnya di aplikasi TikTok.

Rakaman sekumpulan penumpang nekad turun di tepi jalan kerana enggan membahayakan nyawa ekoran pemandu bus yang didakwa memandu secara merbahaya. — TikTok

Dirinya turut mengakui menangis dan apabila ramai pihak mula bersepakat untuk bertindak, pemandu tersebut kemudian memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan Lebuh Raya Utara-Selatan selepas laluan Pedas, Negeri Sembilan.

Awalnya pemandu berkenaan berkeras enggan menurunkan penumpang, namun setelah didesak barulah pintu bas dibuka.

Difahamkan, sekitar 40 minit kemudian, barulah ada bas kedua tiba. Sepanjang tempoh berada di lokasi, polis bantuan dan peronda lebuh raya membantu menjaga keselamatan mereka.

Usaha Majoriti untuk mendapatkan kepastian daripada pihak Bus Delima, Delima Vision (M) Express Sdn Bhd bagaimanapun tidak berjaya apabila wakilnya enggan mengulas lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram