Lima maut kereta bertembung treler, ibu cerita anak sentiasa ambil berat hal keluarga


  • Massa
  • Rabu, 29 Jun 2022

Suasana pilu di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan ketika proses pengecaman dan tuntutan jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan pada Selasa. — Bernama

ALLAHYARHAM Muhammad Rosli Ibrahim seorang anak yang baik dan sangat mengambil berat kebajikan ahli keluarga, kata ibunya Rokiah Md Noh, 70.

Rokiah berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan anaknya itu adalah pada perhimpunan ahli keluarga pada Aidilftri lepas.

"Masa hari raya itu tiada apa-apa perubahan dan dia seorang anak yang periang dan mengambil berat dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau di Padang Rengas, Perak pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang Selasa, Muhammad Rosli, 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun dua bulan maut dalam kemalangan.

Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan, Pahang.

Rokiah berkata, anaknya pergi ke Pahang kerana isterinya ada urusan mengenai tanah.

"Saya reda dengan ketentuan ALLAH yang mengambilnya terlebih dahulu,” katanya yang kelihatan tabah ketika menunggu jenazah anaknya itu yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Labu Kubong sebaik tiba dari Kuantan.

Sementara itu adik Muhammad Rosli, Norshimah Ibrahim, 31, berkata, abangnya yang bekerja sebagai pemandu bas adalah anak ke-10 daripada 13 beradik manakala Nor Afiqah adalah kakitangan awam bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di Bagan Serai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram