'Jangan ambil telefon aku,' rayu mangsa rompak di Klang, jiran hanya 'membisu'


  • Tular
  • Rabu, 29 Jun 2022

Tangkap layar video tular memaparkan dua suspek yang melakukan jenayah samun baru-baru ini.

SEGELINTIR penduduk di negara ini seolah-olah mencabar undang-undang yang dikuatkuasakan, apabila tidak lagi gentar melakukan jenayah berat.

Baru-baru ini, sebuah rumah kecoh apabila dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki, dipercayai bertujuan merompak dan merogol penghuninya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 27 Jun itu, kedengaran rintihan sayu seorang wanita sebelum diarahkan beberapa kali untuk diam oleh salah seorang suspek.

Pada masa sama, kedengaran wanita itu menangis teresak-esak sambil meminta supaya tidak diapa-apakan oleh penjenayah tersebut.

Turut kedengaran, wanita itu merayu penjenayah tersebut supaya tidak mengambil telefon bimbitnya.

"Jangan ambil telefon aku," kata wanita itu.

Tidak dapat dipastikan bilangan sebenar penyamun yang memasuki rumah itu, namun rakaman video menunjukkan dua suspek memakai jaket hoodie berjalan mundar-mandir, manakala salah seorang daripadanya membawa senjata tajam dipercayai sebilah gergaji.

Difahamkan, kejadian berlaku di Flat Bayu Perdana, Klang, Selangor.

Ketika kejadian cemas tersebut, ada mempersoalkan tentang jiran tetangga yang langsung tidak tampil memberi bantuan meskipun suara jeritan wanita itu boleh dianggap kuat.

Setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram