SATU rakaman video tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai berusaha 'memujuk' anggota polis trafik agar memulangkan semula telefon bimbit miliknya.
Perkara itu bagaimanapun mendapat maklum balas berbeza daripada anggota penguatkuasa itu yang enggan memulangkannya kerana ingin digunakan sebagai bahan bukti. Malah anggota polis trafik terbabit turut meminta lelaki terbabit supaya membuat laporan polis bagi menyelesaikan masalah mereka.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu juga memaparkan bagaimana lelaki terbabit berulag kali memaklumkan dirinya tidak bersalah.
"Saya tidak salah, saya tidak salah," katanya.
Beberapa orang awam turut dilihat dalam video terbabit berusaha untuk meleraikan pertelingkahan antara kedua-duanya, namun gagal apabila lelaki berkenaan mula bertindak agak kasar terhadap anggota polis itu.
Video terbabit mengundang pelbagai reaksi dan sebahagiannya memuji tindakan polis yang masih mampu bersabar dengan lelaki itu.
"Polis ambil telefon bimbit, mungkin sebab lelaki itu menggunakan telefon ketika memandu. Jadi dia ambil time untuk rekod sebagai saman bukti masa panggilan dibuat. Lelaki itu saja melakukan provokasi dan enggan mengaku. Jadi polis ambil telefon bimbit dia bukan saja-saja, nak jalankan tugas dan bukti kukuh," kata Lee Alex di Facebook.
"Kadang-kadang kasihan tengok jadi polis tapi kena lemah lembut hilang martabat berunifom. Tapi bagaimana hendak buat warganet sekarang tau cari salah saja," kata Aiey Khairi Zahari di Facebook.
Majoriti sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas pihak polis trafik Pulau Pinang berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram