HEBOH di laman media sosial apabila pasangan deejay laman sosial yang dikenali sebagai DJ Wong dan isterinya, DJ Sal kembali duduk sebumbung meskipun lafaz talak tiga telah dibuat pada April lalu.
Terdahulu, DJ Wong atau nama sebenarnya, Noor Aziz Johari, 53, melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya dan memberitahu pengikutnya bahawa dia tidak akan muncul di laman Facebook lagi selepas itu.
Namun, pasangan itu didakwa kembali hidup bersama baru-baru ini.
Mengulas isu berkenaan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tindakan bekas pasangan suami itu yang kembali duduk sebumbung sememangnya salah di sisi Islam dan perkara itu sebenarnya memberi kesan kepada si isteri.
Menurut Muhammad Shukri, perkara itu seolah-olah menganggu tempoh edah bagi seorang wanita dan dalam Mazhab Syafie ia dipanggil sebagai edah muasyarah.
“Perkara itu beri kesan kepada isteri yang diceraikan. Sebab itu dalam Mazhab Syafie isteri yang diceraikan itu mestilah duduk berasingan. Tidak boleh duduk sama-sama, satu bumbung. Kalau duduk satu bumbung, edah dah habis tapi berpanjangan.
“Ia dipanggil edah muasyarah. Maknanya walaupun dia dah habis edah, katalah tiga kali datang haid, tiga kali suci. Tetapi oleh kerana dia duduk sebumbung, dia tidak boleh nikah lagi. Itu kesan untuk isteri,” katanya kepada Majoriti.
Malah menurutnya, perkara itu juga seperti suami menghukum bekas isteri kerana membiarkan tempoh edah wanita itu menjadi panjang.
Tambahnya, walaupun alasan mereka duduk sebumbung kerana mempunyai niat untuk berkahwin sekali lagi adalah tidak dibenarkan.
“Sepatutnya suami isteri itu bila dah cerai, terus duduk berasingan. Jika niat nak bersatu, rujuk sahaja terus. Bukannya kalau dah duduk berasingan itu tidak boleh rujuk.
“Padahal kalau duduk berasingan lagi berasa kesunyian nak balik semula. Kalau duduk situ dah bercerai, muka itu lah yang akan ditengok sahaja.
“Pengajaran suami isteri ini apabila dah betul-betul berpisah. Kalau dah cerai tapi duduk sama-sama buat apa kan? Dah tak suka kenapa duduk sama-sama? Jika suka, rujuk sahaja,” katanya.
Isu pasangan berkenaan menjadi tular sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, individu yang terlibat perlu dipanggil bagi disiasat.
Bagaimanapun DJ Sal atau Ku Sabariah Ku Hambali, 47, mendakwa bahawa dia sudah merujuk isu yang timbul kepada ahli keluarga dan bijak pandai agama yang memaklumkan bahawa lafaz cerai DJ Wong itu tidak sah. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram