SUDAH lebih lima bulan terpaksa berhadapan dengan bau busuk tahi lembu di kawasan padang sekolah, seorang guru lelaki akhirnya terpaksa mengambil tindakan menularkan video situasi itu di media sosial.
Menerusi video tular itu, dapat dilihat lebih sembilan ekor lembu berada di kawasan padang berhadapan sebuah sekolah.
Malah, video berdurasi lebih seminit itu juga memaparkan keadaan padang yang penuh dengan tahi lembu.
Pemilik video berkenaan, Zarimi Shubrawi berkata, kejadian lembu berkeliaran, berak serta kencing itu berlaku di padang sekolah Maahad Tahfiz Istiqamah, Kampung Padang Lalang, Temerloh, Pahang.
"Bau aroma tahi lembu ini sampai masuk ke dalam kelas dan asrama. Setiap kali pelajar nak riadah di padang, perlu buang tahi lembu itu.
"Kami dah tak berdaya nak bersihkan tahi lembu ini. Setiap hari lembu datang, kencing dan berak di tempat utama pelajar tahfiz bersukan.
"Tolonglah, saya merayu kepada tuan lembu. Hampir lima ke enam bulan dan berhadapan dengan situasi ini," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa warganet memberikan cadangan supaya satu laporan dibuat atas tindakan tidak bertanggungjawab pemilik lembu itu.
Fuad Hadi berkata, perlu buat laporan polis atau laporkan ke Jabatan Veterinar supaya lembu itu ditangkap dan pemiliknya perlu membayar ganti rugi.
"Tuan lembu pun otak macam lembu juga. Lapor ke pihak berwajib supaya lembu dapat ditangkap. Biar pemilik berurusan dengan pihak berwajib dan diberikan kaunseling," kata Al-Imam Imtiaz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram