SEEKOR babi hutan menyerang empat penduduk di Kuwang, Kampung Windusari, Magelang, Jawa Barat, Indonesia.
Serangan itu mengakibatkan empat orang cedera dan dua daripadanya masih dirawat di hospital.
Kejadian bermula apabila tiga penduduk, Zulfatul Karimah (30), Juman (55), dan Asimah (53) diserang babi hutan secara bergilir pada Khamis sekitar pukul 9.30 pagi waktu Malaysia.
Manakala, seorang lagi mangsa, Agus mengalami cedera ringan sewaktu membantu mereka dan dia menjalani rawatan pesakit luar bersama Asimah.
Sementara itu, Zulfatul dan Juman mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Merah Putih.
Asimah berkata, dia diserang babi hutan ketika mencari rumput di taman dan secara tiba-tiba seekor babi hutan merempuh tepat di paha kirinya.
"Saya terkejut, babi hutan itu tiba-tiba merempuh saya," kata Asimah kepada detikJateng ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.
Asimah kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Windusari untuk menerima rawatan luka di paha kirinya.
Sementara itu, seorang penduduk Mukhlasin (42) mengakui terdengar orang menjerit meminta tolong ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil kad laporan anaknya.
Ketika itu dia mendapati Zulfatul sedang diserang babi hutan di jalan kampung.
"Ketika menghampiri kawasa kejadian, saya lihat sekali lagi mereka diserang babi hutan itu. Saya lihat kedua-dua kaki mereka dimakan haiwan itu," jelas Mukhlasin.
"Asimah dan Agus cedera ringan. Yang cedera parah, Atul (Zulfatul) dan Juman, kedua-duanya dibawa ke Hospital Merah Putih. Juman cedera di kepala dan seluruh badan, manaka Atul di kaki," katanya.
Selepas empat orang menjadi mangsa serangan babi hutan itu, penduduk kemudiannya sibuk menangkap babi hutan berkenaan dan mereka berjaya membunuhnya.
“Berjaya ditangkap dan dibunuh,” kata ketua kampung Windusari, Yusuf Hidayat sambil menghantar gambar dan video penangkapan babi hutan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram