Kakak autisme lempar adik usia 2 minggu, ibu syukur anak tidak cedera


  • Tular
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Rakaman CCTV menunjukkan insiden cemas di rumah Amira.

SATU rakaman video yang tular di TikTok dengan memaparkan pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila anak sulung mereka mengambil bayi berusia dua minggu dan hempas ke lantai.

Dalam kejadian yang berlaku di Kajang, Selangor, seorang kanak-kanak perempuan Amilia, 4, mengambil adik perempuannya yang ada di atas kerusi goyang bayi.

Bayi berusia dua minggu itu, Amina, kemudian terus di bawa ke klinik sebelum mendapat rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Rakaman video yang tular di TikTok menunjukkan seorang kanak-kanak autisme menghempas adiknya berusia dua minggu ke lantai. — TikTok

Menurut ibu bayi, Amira Baharom, beliau bersyukur anaknya dilaporkan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sama ada pada bahagian dalaman atau luaran.

"Ketika rawatan, doktor terkejut dan bertanyakan bagaimana boleh jatuh. Kami kemudian menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Waktu itu memang semua terkejut.

"Alhamdulillah doktor mengesahkan segalanya baik-baik sahaja dan pemeriksaan ultra bunyi juga sudah dilakukan pada bahagian kepala," jelas beliau kepada Majoriti.

Tidak dinafikan perkara itu mengejutkan banyak pihak, namun Amira menganggapnya sebagai satu pengajaran buatnya sekeluarga agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Anak sulung saya merupakan autisme tahap sederhana. Kadangkala dia akan bertindak di luar jangkaan.

"Pernah juga Amilia memukul memukul rakan-rakan lain dan kemudian ketawa dengan tindakannya.

"Amilia sebenarnya sangat menyayangi adiknya itu, namun mungkin ada sebab mengapa dia berbuat sebegitu," terangnya.

tular 3

Doktor membuat pemeriksaan ultra bunyi dan mengesahkan tiada sebarang kecederaan serius ke atas bayi. — TikTok

Amira yang masih dalam keadaan berpantang turut memberitahu anaknya itu sebelum ini menjalani rawatan terapi kanak-kanak sebanyak sekali seminggu.

Bagaimanapun, bermula bulan depan terapi tersebut ditukarkan kepada lima kali seminggu iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat.

"Saya mengharapkan akan ada perubahan selepas menyertai terapi harian ini," jelasnya.

Berdasarkan perkongsian Amira di TikTok, Amilia mula dibawa ke hospital sekitar Mei lalu dan disahkan doktor menghidap autisme tahap sederhana.

"Selepas beberapa kali menafikan, akhirnya bawa juga Amilia dan doktor sahkan," katanya.

Kongsi Amira, anaknya itu mudah tertarik dengan dua objek serupa, menconteng dinding, sukar untuk duduk diam dan mudah bertindak agresif jika permintaannya ditolak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram