Pilih berhenti kerja bank demi jaga kucing jalanan


  • Primer
  • Khamis, 23 Jun 2022

Nor Azhar bersama sebahagian daripada kucing yang dibelanya.

TUJUH tahun lalu, Pusat Perlindungan Kucing Tiram (CAT) bermula dengan empat ekor kucing terbiar. Kini, pusat perlindungan itu menempatkan lebih 260 ekor kucing.

Terletak di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram di Johor, tempat perlindungan itu dimulakan oleh bekas eksekutif bank, Nor Azhar Abdul Hamid.

"Saya tidak sanggup melihat kucing terbiar dan berkeliaran di jalanan, pasar, kedai makan dan kawasan perumahan kami," kata Nor Azhar, yang merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk menyediakan tempat yang sesuai untuk kucing tersebut.

Pusat perlindungan itu terletak 23.4km dari Johor Baru dan dibina pada 2016.

"Tanah seluas 1.69 hektar itu milik ibu mertua saya dan saya membelanjakan kira-kira RM70,000 untuk memulakan rumah perlindungan itu," katanya.

Nor Azhar, 52, berkata, beberapa ekor kucing itu diselamatkannya manakala yang lain dibawa orang ramai atau diselamatkan oleh Balai Bomba Pasir Gudang dan Tebrau, Johor.

Beliau berkata, tidak seperti pusat perlindungan haiwan lain, CAT tidak menerima kucing peliharaan yang diserahkan oleh pemiliknya.

"Pertama, mereka tidak sepatutnya mempunyai haiwan peliharaan di rumah mereka jika mereka tidak dapat menjaganya," katanya.

Katanya, sepasang suami isteri datang ke pusat perlindungan untuk menyerahkan 25 ekor kucing kira-kira tiga minggu lalu tetapi dia menolaknya kerana ia bukan kucing jalanan.

Pasangan itu tidak berpuas hati dan membuat laporan kepada Jabatan Veterinar Johor mendakwa kucing di pusat perlindungan itu kekurangan zat makanan dan dilayan dengan buruk.

"Pegawai dari jabatan itu membuat lawatan mengejut kepada kami dan selepas pemeriksaan, mereka berpuas hati dengan tempat penjagaan kami," kata Nor Azhar.

Dalam pada itu, Nor Azhar berkata, dia membelanjakan RM5,000 sebulan untuk urusan penjagaan pusat perlindungan.

Menurutnya, dia sebenarnya tidak menerima wang bantuan daripada orang ramai tetapi jika ada yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi program kucing angkat.

Untuk setiap kucing angkat, tempat perlindungan menerima beg 30kg kibble yang boleh bertahan selama 180 hari.

CAT boleh dihubungi di talian 013-748 5544. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram