Senarai pusat hiburan edar dadah akan diserah ke Bukit Aman


  • Massa
  • Khamis, 23 Jun 2022

Musa Hassan menggesa pihak berkuasa untuk memburu pemberi rasuah yang bekerja dengan anggota polis tidak bertanggungjawab, yang membantu aktiviti mereka.

SENARAI kelab malam dan pusat hiburan yang didakwa mengedar dadah akan diserahkan kepada Bukit Aman, kata Tan Sri Musa Hassan.

Bekas Ketua Polis Negara itu berkata, beliau telah menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung perkara itu.

"Senarai itu disusun daripada pemberi maklumat dan saya telah bercakap dengan Datuk Ayob. Saya hanya menunggu pihaknya meluluskan masa dan tarikh dan saya akan menyerahkan senarai itu," kata Musa yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Katanya, senarai itu mempunyai kira-kira 15 nama kelab di dalam dan luar Lembah Klang. Ia juga mempunyai nama pemilik dan pengurusannya.

Musa berkata, pengguna dadah pada masa kini terdiri daripada golongan profesional yang bekerja manakala penguatkuasaan yang lebih kukuh diperlukan untuk membendung isu itu.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk memburu pemberi rasuah yang bekerja dengan anggota polis tidak bertanggungjawab, yang membantu aktiviti mereka.

Bagi pesalah berulang, Musa menggesa penggunaan undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Pergi cari akaun bank mereka. Terdapat banyak undang-undang yang tersedia untuk menghalang mereka daripada beroperasi," katanya.

Mengenai dakwaan Edisi Siasat mengatakan beliau telah menerima rasuah, Musa berkata, ini bukan kali pertama dakwaan sedemikian dilemparkan kepadanya.

"Beritahu saya kartel mana yang memberi rasuah kepada saya? Saya pernah disiasat pada masa lalu oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan saya sendiri pernah membuat laporan selepas dakwaan seperti ini dibuat," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram