Wings 'terbang' ke Kuching temui peminat


  • Hiburan
  • Khamis, 23 Jun 2022

Kumpulan Wings masih kekal relevan meskipun sudah berusia 36 tahun. — Instagram

SATU pencapaian luar biasa buat kumpulan rock legenda, Wings apabila tiket konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 15 Julai depan habis terjual dalam tempoh 15 minit.

Peminat muzik tanah air masih menaruh harapan tinggi terhadap kumpulan yang dianggotai oleh Datuk Awie selaku vokalis, Syam dan Edrie (pemain gitar), Eddie (pemain bass) serta Black (pemain drum).

Kredibiliti yang dibawa Wings sepanjang 38 tahun dalam industri hiburan menjadikan mereka kumpulan yang cukup disegani.

Selain mempertaruhkan acara gilang gemilang, Wings kembali menerusi konsert jelajah Wings One Night Only Live di Kuching, Sarawak Chambers, Riverside, Hotel Majectic, Kuching pada 27 Ogos depan.

Penganjur, Bidari Mohamad Suhaili dari BMS Event berkata, sebab utama Wings memilih Kuching kerana kumpulan itu mempunyai pengikut yang ramai.

"Wings adalah kumpulan rock lagenda yang masih utuh sehingga sekarang. Awie sebagai penyanyi utama Wings mempunyai ramai pengikut termasuk lagu-lagu Wings yang masih segar dalam ingatan peminat.

"Malah pada persembahan Raikan Cinta Ramadan Wings pada bulan Ramadan lalu juga berjaya dan ini membuktikan Wings tetap dinanti pada bila-bila masa,” katanya.

Konsert tersebut turut membantu badan bukan kerajaan (NGO) National Cancer Society Cawangan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan HS Shazlicious yang juga penganjur bersama, Mubarak Akhtar, berkata, Kuching antara lokasi yang sentiasa dinantikan peminat.

“Sebenarnya sudah 10 tahun Wings tak buat konsert di Sarawak. Malah, Kuching juga antara bandar besar nak buat konsert. Jadi, kita mengharapkan peminat Wings boleh hadir bagi mengubat rindu sambil membuat sumbangan untuk tabung National Cancer Society cawangan Sarawak," ujarnya.

Konsert tersebut dijadualkan berlangsung selama dua jam bakal menyaksikan Wings menyampaikan hampir 20 lagu.

Harga tiket dibahagikan kepada beberapa kategori dengan harga yang telah ditetapkan seperti berikut, Diamond: RM12,000 (semeja untuk 10 orang), Platinum: RM10,000 (semeja untuk 10 orang), Gold: RM8,000 (semeja untuk 10 orang), Silver: RM5,000 (semeja untuk 10 orang) dan Bronze: RM3,000 (semeja untuk 10 orang).

Tiket akan mula dijual pada 24 Jun ini melalui BMS Event. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram