Video polis pukul sekumpulan orang Islam cetus kemarahan rakyat


  • Benua
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Rakaman tersebut telah ditonton jutaan pengguna media sosial. — Agensi

SEBUAH rakaman video tular memaparkan tindakan dua anggota polis di India memukul sekumpulan orang Islam dengan kayu besbol telah mengundang kemarahan pengguna di media sosial.

Klip kontroversi itu dikongsi anggota parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang secara sinis menyatakan ia sebagai ‘hadiah’ kepada kesemua mangsa setelah protes membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW masih berterusan di negara itu.

Difahamkan, tiada tindakan diambil ke atas anggota polis berkenaan yang jelas membuktikan sentimen anti-Islam semakin meningkat di negeri Uttar Pradesh, India.

Rayuan beberapa ahli keluarga mangsa yang meminta mereka dibebaskan juga tidak dihiraukan.

“Mereka memukul adik saya dengan teruk tanpa belas kasihan,” kata Zeba sambil menangis ketika dia melihat rakaman video itu yang memaparkan keadaan adiknya, Saif, 24, yang merupakan salah seorang daripada penduduk Islam yang ditahan pihak berkuasa di bandar Saharanpur pada minggu lalu.

Dokumen polis mendakwa Saif bersama 30 individu lain terlibat dalam rusuhan, mencetuskan keganasan, menghalang tugas pihak berkuasa dan membahayakan nyawa orang awam.

Kakaknya bagaimanapun menafikan Saif bersalah kerana tidak pernah menyertai protes di bandar tersebut.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa di Uttar Pradesh, India bertindak merobohkan rumah penduduk Muslim yang didakwa terlibat dalam protes yang membantah tindakan biadab beberapa anggota BJP yang menghina Rasulullah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram