JEMAAH haji Malaysia dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau mempromosikan produk ketika berada di hadapan Kaabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata setiap jemaah yang juga ‘tetamu Allah’ seharusnya memanfaatkan tempoh berada di Tanah Suci untuk menjalankan ibadah haji agar mendapat haji yang mabrur (diterima Allah).
"Sepatutnya fokus kepada ibadah haji lebih-lebih lagi depan Kaabah, tempat mustajab untuk berdoa. Sepatutnya perkara seperti ini (berniaga dan promosi) tidak patut berlaku.
"Perbuatan seperti ini kadang-kadang boleh mengganggu jemaah haji lain untuk beribadah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 kepada 148 kakitangan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya pada Selasa.
Tular di media sosial baru-baru ini seorang jemaah haji mempromosikan produk jualannya di hadapan Kaabah menerusi sebuah video berdurasi 43 saat.
Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Idris mahu penjawat awam di bawah seliaannya membudayakan tiga konsep iaitu budaya kerja cemerlang, mencapai matlamat hala tuju pentadbiran dan amal jama’i (kerjasama) sebagai satu keluarga.
"Kita semua adalah duta agensi Islam, apa-apa jua yang kita lakukan akan memberikan kesan kepada wajah Islam,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram