Tertekan pedal minyak, 3 pelanggan kedai cuci kereta parah dirempuh


Tangkap layar video lokasi kedai cuci kereta yang dirempuh oleh sebuah kereta, yang menyebabkan kecederaan tiga orang pada Ahad. — Agensi

SEBUAH kereta yang merempuh kedai cuci kereta sehingga melanggar dua wanita dan seorang kanak-kanak di Ciracas, dekat Jakarta Timur, Indonesia pada Ahad kini tular di media sosial.

Video tular itu memaparkan, kereta berwarna merah itu pada mulanya merempuh sebuah kereta yang berada di dalam premis itu sebelum merempuh bilik menunggu.

Di ruang menunggu, terdapat dua wanita dan seorang kanak-kanak di dalamnya menjadi mangsa kemalangan itu.

Kemalangan itu juga menyebabkan perabot di dalam premis berselerak serta menarik perhatian orang ramai untuk berkumpul menyaksikan kejadian.

Kedua-dua wanita yang dilanggar itu dilihat masih mampu berjalan dan turut memapah kanak-kanak tersebut.

Difahamkan, kemalangan berpunca daripada pemandu yang panik akibat tertekan pedal minyak.

"Lokasi di kedai cuci kereta di Cibubur, Ciracas, Jakarta Timur, " kata satu suara di dalam video tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Ciracas, Kompol Jupriono berkata, pihak akan melakukan siasatan terhadap kes itu.

Jupriono juga masih belum mengetahui masa, lokasi sebenar serta keadaan semasa mangsa kemalangan.

"Sekali lagi lagi saya nyatakan, ia memang bukan di kawasan saya. Saya masih semak untuk kepastian," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram