KKM siasat kes 'nurse' main TikTok, rakam bayi menangis di NICU


  • Tular
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Video di Tik Tok yang dipercayai dirakam oleh anggota perubahan sebuah hospital. — Twitter

SATU video tular menunjukkan seorang bayi yang dipercayai ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dibiarkan menangis menarik perhatian warganet.

Rakaman berdurasi 10 saat itu diambil menerusi pemilik akaun Tik Tok yang dikenali sebagai @shahira_azman96.

Agak menyakitkan hati, apabila menggunakan audio latar belakang kata-kata kesat sambil video tersebut dizum sambil menunjukkan keadaan bayi yang sedang menangis.

Terdapat juga kapsyen video yang mengatakan; "Ko nak apa dik... menangis je keje (kerja)." Dua emoji sedih turut diletakkan bersama.

Tentu sahaja perkara tersebut mengundang rasa marah dalam kalangan warganet dengan menyifatkan anggota perubatan yang berbuat demikian tidak bertanggungjawab.

Tambahan, ramai menggesa agar siasatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan sekali gus tindakan serius diambil lebih-lebih apabila melibatkan penggunaan media sosial ketika sedang waktu bekerja.

komen3

Beberapa komen warganet melibatkan video terbabit. — Twitter

"Jahatnya, bayi merengek sikit pergilah tengok. Tahulah penat, tetapi perkara itu sudah menjadi tanggungjawab.

"Teruknya nurse (jururawat) ini. Tak kisahlah apa pun niat untuk buat kandungan seperti itu, letak audio yang mencarut macam itupun tidak kelakar. Baby anak orang, kalau ada pilihan anak tak sakit, tak nak pun tinggal dekat NICU," tulis pengguna Twitter.

Pakar perubatan, Dr Sandra Raman turut tidak bersetuju dengan rakaman video tersebut apatah lagi apabila melibatkan golongan kanak-kanak.

Beliau turut mengharapkan agar tidak menggunakan platform media sosial sebagai tempat untuk melepaskan kemarahan atau mengutuk orang lain.

"Bayi akan berhenti menangis apabila dibedung atau dipegang, jadi bayi itu sudah biasa mendengar degupan jantung ibunya. Jika dahulu berada dalam air ketuban dan kini suasana itu sudah berbeza.

"Persoalannya kenapa jururawat itu tidak berbuat apa-apa meskipun mengetahui bayi berkenaan sedang menangis, bukan salahnya. Kita tidak tahu keadaan seorang bayi sama ada dilahirkan normal atau pembedahan, lahir pramatang dan mengapa perlu diletakkan di warmer (pemanas).

"Kesilapan dalam video ini adalah apabila menggunakan audio mencarut. Tentu sahaja setiap pekerjaan itu memang meletihkan dan saya memang setuju dari semua aspek bahawa pekerjaan perubatan memang meletihkan lebih-lebih lagi di unit khas," katanya kepada Majoriti.

Dr Sandra turut berpendapat kejadian tersebut seharusnya tidak berlaku kerana khalayak sekarang amat mementingkan kandungan dalam talian terutamanya apa yang dikongsi oleh kakitangan perubatan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di salah sebuah pusat perubatan yang terletak di Selangor.

Pada masa sama, Majoriti dimaklumkan bahawa pihak KKM sedang sedang menyiasat kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram