PENYANYI antarabangsa, Justin Bieber mengejutkan peminat global apabila tiba-tiba mengalami lumpuh separuh wajah, dipercayai akibat serangan virus dikenali sebagai Ramsay Hunt.
Akibat daripada penyakit itu, dia terpaksa membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya.
Pakar kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, sindrom tersebut hanya berlaku kepada individu yang pernah mengalami cacar air atau chicken pox.
Hal ini kerana, katanya, ia disebabkan oleh jangkitan virus varicella-zoster, iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air dan kayap (shingles).
"Selepas seseorang pulih dari cacar air, sebahagian virusnya akan kekal di saraf. Ia kemudian boleh aktif kembali. Jika ia berlaku di saraf rusuk, maka ia menjadi kayap, manakala di saraf muka pula menjadi sindrom Ramsay Hunt.
"Secara teori, pengaktifan virus itu semula berlaku kerana penurunan sistem imun. Sistem imun boleh menurun pada individu yang kurang zat, stress, warga emas, wanita hamil, serta penghidap kanser, serta penyakit kronik," katanya menerusi laman Facebook.
Jelas Dr Kamarul Ariffin, sindrom Ramsay Hunt kelihatan hampir serupa dengan Bell's Palsy, namun gejalanya lebih banyak, iaitu:
a) sakit telinga.
b) pendengaran terjejas.
c) kelumpuhan sebelah muka.
d) ruam berlepuh (seperti kayap).
e) vertigo(pening berpusing).
f) kering mata dan mulut.
Rawatan untuk sindrom ini adalah sama seperti rawatan untuk cacar air dan kayap:
a) ubat antiviral.
b) ubat kortikosteroid.
c) analgesik(tahan sakit).
d) terapi(fisioterapi dan cara kerja).
Dr Kamarul Ariffin berkata, lebih cepat seseorang itu mendapat rawatan, lebih tinggi peluang untuk pulih.
"Pemulihan boleh memakan masa berbulan-bulan. Sebahagian besar pesakit pulih sepenuhnya, manakala selebihnya lagi mengalami kelumpuhan muka dan masalah pendengaran yang kekal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram