LEBIH 150,000 orang mendaftar untuk memohon kebenaran menanam ganja melalui Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand.
Permohonan itu dilakukan selepas negara itu membenarkan orang ramai menanam pokok ganja di kediaman masing-masing, minggu ini.
Setiausaha Agung FDA, Dr Paisarn Dunkum, berkata peraturan itu membenarkan orang ramai menanam ganja selepas mendaftar dengan FDA melalui plookganja.fda.moph.go.th dan aplikasi di telefon mudah alih.
Beliau berkata, selain daripada syarat pendaftaran dalam talian, penanam tidak perlu mendapatkan kebenaran untuk mengusahakan tanaman terbabit.
Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, sebelum ini yang menerajui usaha menghalalkan penanaman ganja dan rami buatan sendiri untuk membolehkan petani menambah pendapatan mereka.
"Ini menandakan babak baharu dalam sejarah ganja di Thailand.
"Adalah penting bagi kami untuk memahami titik perubahan ini dan bergerak ke hadapan bersama-sama," katanya.
Mulai Khamis, menanam dan memperdagangkan produk ganja dan rami di Thailand bukan lagi satu jenayah, selepas peraturan yang menyahklasifikasikannya sebagai narkotik berkuat kuasa.
Kebanyakan klinik di seluruh negara berkemungkinan menawarkan ganja dalam perubatan bagi merawat pelbagai penyakit manakala restoran boleh menyajikan hidangan serta minuman yang mengandungi ganja, dengan kurang daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) - sebatian psikoaktif yang memberikan sensasi "tinggi" kepada pengguna.
Walaupun langkah itu bertujuan untuk memperkukuh sektor pertanian dan pelancongan penting negara, larangan ganja untuk "kegunaan rekreasi" dan pengeluaran apa-apa sahaja yang mempunyai lebih daripada 0.2 peratus THC mungkin mengehadkan perdagangan bebasnya.
Tidak jelas sama ada aktiviti menghisap ganja secara tertutup adalah satu jenayah, namun sesiapa yang ditangkap menghisap ganja di khalayak ramai boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda sebanyak 25,000 baht (AS$725), menurut Kementerian Kesihatan.
Parlimen Thailand telah memulakan perbincangan mengenai undang-undang ganja yang lebih komprehensif untuk mengawal selia industri, kata Anutin.
Sehingga rang undang-undang itu digubal, pelbagai agensi kerajaan akan memantau penggunaan akhir tanaman itu, katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram