SEJAK kebelakangan ini isu mengenai sambutan Festival Bon Odori hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di Malaysia setelah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menyuarakan ada unsur keagamaan dalam perayaan itu.
Ramai yang mempertikaikan perkara itu meskipun pesta Bon Odori yang berasal dari Jepun itu disambut di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
Bagi pendakwah mualaf terkenal, Firdaus Wong Wai Hung menyatakan pendapatnya mengenai perkara itu dengan menegaskan bahawa komuniti Muslim di Jepun termasuk golongan mualaf tidak pernah menyambut perayaan Bon Odori kerana sedar acara tahunan itu jelas bertentangan dengan akidah Islam.
Perkara itu didedahkan oleh Firdaus menerusi perkongsian hantaran dalam laman sosialnya sambil melampirkan tangkap layar perbualannya bersama rakan mualafnya iaitu salah satu daripada komuniti Muslim di Jepun.
“Ini perbualan antara saya dengan sahabat saya di Jepun iaitu Salman Kyoichiro Sugimoto. Kami berdua berkenalan semasa menghadiri Program Latihan Dakwah Antarabangsa 2016. Sebagai seorang mualaf dan pendakwah, beliau dengan tegas sebagai Muslim di Jepun mengatakan tidak pernah meraikan Bon Odori,” katanya.
Tangkap layar hantaran dari Firdaus Wong.
Firdaus yang juga Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) berkata, umat Islam di Jepun ternyata lebih faham dan tidak pula teruja meraikan Bon Odori dan mereka lebih sedar perkara tersirat atau falsafah di sebalik perayaan itu yang ada unsur syirik.
Pendakwah itu sebelum ini menulis bahawa perayaan Bon adalah tidak ubah seperti perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat Cina manakal Odori pula ialah tarian tradisional Jepun.
"Perayaan Bon adalah tidak ubah seperti perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat Cina. Cuma ia berlaku sinkretis percampuran dengan budaya Jepun dan ajaran Konfusianisme, lalu ia disertakan dengan tarian bagi menghiburkan hantu-hantu nenek moyang.
"Oleh itu sebagai muslim, menghindari dari terlibat di dalam tarian ini adalah suatu perkara yang dituntut. Kerana ia adalah perayaan yang berbentuk keagamaan dan falsafahnya bercanggah dengan ajaran Islam (terutama soal roh dan hantu).
Tambahnya, perkara lain yang merisaukan dalam festival itu ialah berlaku ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita).
"Oleh itu janganlah kita mudah terikut sesuatu amalan itu di atas nama ‘Kebudayaan’ dan ‘Tradisional’ semata-mata sedangkan di sebaliknya memiliki falsafah tersendiri.
"Bimbang termasuk di dalam golongan yang melakukan tasyabbuh (menyerupai golongan agama lain). Seperti hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum (dalam urusan agama), maka ia termasuk golongan mereka”. — Hadis diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Daud Ibn Abi Syaibah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram