Sikap netizen, laporan media punca isu rogol, sumbang mahram Kelantan jadi besar — Naib Presiden PAS


  • Primer
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Mohd Amar berkata kes rogol dan sumbang mahram juga berlaku di negeri lain cuma tidak dilaporkan. — Agensi

SIKAP warganet yang suka mensensasikan isu rogol dan sumbang mahram setiap kali melibatkan Kelantan menjadi punca nama negeri itu menjadi sohor.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah secara berseloroh berkata, laporan yang dibuat oleh pihak media turut menghangatkan lagi isu berkenaan.

"Kalau media tidak lapor, maka tiadalah isu ini. Kerajaan tidak nafi perkara ini, negeri lain mungkin kurang sebab tiada laporan.

"Saya lihat sikap netizen, bila isu Kelantan sahaja ia menjadi besar. Sedangkan masalah yang sama ada di tempat lain, seolah-olah di Kelantan mesti sempurna tiada salah dan silap. Itulah masalahnya," katanya.

file7kyhamdgaupe3b4rkth

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah. — Bernama

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan negeri tidak pernah lari dalam isu tersebut malah sentiasa berusaha untuk mengatasinya.

Katanya, kerajaan negeri menjadikan Membangun Bersama Islam sebagai dasar utama dalam memberikan kefahaman berkait agama kepada masyarakat.

"Disebabkan dunia ketika ini terbuka semua bahan yang boleh mengundang kepada perbuatan tersebut mudah untuk dilayari.

"Bagi saya tidak wajar meletakkan kesalahan ini di bahu kerajaan semata-mata. Masing-masing ada tanggungjawab, sebagai orang Islam kita perlu hidup dengan ajaran agama yang sempurna," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram