PERKAHWINAN merupakan sunnah Nabi SAW dan jodoh yang menjadi rahsia ALLAH ini dituntut dalam Islam.
Kebiasaannya hari bersejarah itu akan dilangsungkan dalam suasana meriah, gembira dan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup menghabiskan sejumlah wang besar untuk melaksanakan majlis impian mereka.
Seperti kisah wanita di Sandakan, Sabah yang tular apabila dirinya menerima wang hantaran sebanyak RM400,000 dari pasangannya dan perkara itu mencuri perhatian ramai sehingga ada yang membangkitkan isu hantaran dalam Islam.
Juara program Imam Muda musim pertama, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, seseorang berkahwin dengan memperoleh hantaran tinggi adalah dibolehkan dalam Islam namun perlu memudahkan kedua-dua pihak.
Menurut Muhammad Asyraf mudah dalam konteks hantaran itu adalah bermaksud kedua-dua pihak boleh bayar dan perlulah bersetuju dengan angka hantaran yang dikemukakan berkenaan.
"Dalam Al-Quran, sedekah itu adalah mahar kepada wanita-wanita kamu dalam keadaan yang memudahkan seperti tafsiran ulama seperti ikhlas, menyeronokkan hati, apa yang lelaki itu suka beri.
"Biasanya yang menjadi isu adalah apabila keluarga wanita menetapkan dan sengaja menyusahkan lelaki itu. Namun jika keluarga wanita itu berunding dan lelaki itu bersetuju dengan rundingan itu maka tiada masalah.
"Bukanlah niatnya ingin menunjuk-nunjuk tapi niatnya memang betul nak bagi, sama-sama kaya atau memang nak bagi atas dasar cinta tiada masalah. Benda itu harus," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu Muhammad Asyraf turut menjelaskan perbezaan antara hantaran dengan mas kahwin.
Menurutnya, hantaran biasanya diberikan untuk keluarga manakala mas kahwin untuk wanita itu adalah hak milik isteri mutlak.
"Kalau nak sekalikan boleh sahaja, yang penting nilai itu nak bagi berapa. Dalam Islam tidak dilarang cuma yang nabi sebut adalah sebaik-baik kamu adalah paling mudah. Jangan tafsir murah tapi paling mudah.
"Kalau RM400,000 itu mudah bagi pihak lelaki maka silakan. Cuma bagi wanita memudahkan pasangan kerana nikah itu sunnah.
"Cubalah bagi harga yang bersesuai, janganlah nampak menjatuhkan wanita itu, tidak nampak macam wanita itu murah, jangan nampak macam jual anak. Dia tahu bakal suami itu kerja biasa-biasa bagi mahal. Benda itu tiada masalah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram