Empat lelaki bunuh, humban mayat kawan sekampung dalam kolam najis


  • Benua
  • Khamis, 02 Jun 2022

Polis Denpasar mengadakan sidang media pendedahan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya dibuang ke dalam pembetung. — Agensi

POLIS menahan tiga suspek pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya dibuang ke dalam pembetung najis di Jalan Pidada, Denpasar, Bali, Indonesia. Sementara itu, seorang lagi rakan jenayah mereka masih dicari.

Tiga suspek itu ialah Benjamin Haingu,23; Minto Umbu Rada,22 dan Papi Langu Humba yang berusia 19 tahun.

“Seorang lagi pelaku yang masih lolos ialah lelaki dikenali dengan inisial DL,” kata Ketua Polis Denpasar, Ajun Komisaris Besar Polisi Bambang Yugo Pamungkas, pada Khamis (2 Jun).

Beliau berkata, Papi dan Minto ditahan di Pelabuhan Lembar, Lombok, Nusa Tenggara Barat, ketika cuba melarikan diri, manakala Benjamin ditahan di sebuah rumah tumpangan di Denpasar.

Katanya, suspek dan mangsa saling mengenali kerana mereka semua berasal dari Sumba, Nusa Tenggara Timur.

Bambang menjelaskan, pembunuhan sadis itu berlaku selepas pelaku dan mangsa mengadakan pesta arak di Dataran Puputan, Denpasar, pada 28 Mei 2022.

Dalam perjalanan pulang, mereka berlumba motosikal secara haram dan insiden itu telah mengakibatkan mangsa terjatuh ekoran pelanggaran dengan motosikal milik DL.

Berang dengan kejadian itu, DL mengambil sebongkah bata lalu memukul kepala mangsa. Dia kemudian mengarahkan tiga lagi rakannya itu untuk memukul mangsa dengan batang kayu dan bongkah batu sehingga mangsa maut.

Tubuh mangsa kemudiannya dicampak ke dalam pembetung najis di Jalan Pidada. Motosikal mangsa turut diletakkan di lokasi untuk membuatkan ia kelihatan seolah-olah mangsa ditimpa kemalangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram