Disangka objek di tengah jalan, tubuh warga emas hancur digilis beberapa kenderaan di Lumut


  • 112
  • Selasa, 31 Mei 2022

Tangkap layar video yang mamaparkan tubuh mangsa yang berkecai selepas digilis beberapa buah kenderaan.

SEORANG lelaki warga emas maut selepas digilis beberapa kenderaan dalam nahas di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Menglembu, Perak pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, K Muniandy, 69, yang mengalami kecederaan parah dengan sebahagian badannya berkecai maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan maut membabitkan pejalan kaki.

"Siasatan mendapati sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Disebabkan keadaan jalan gelap dan jarak yang dekat, lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai turut dilanggar oleh beberapa kenderaan yang tidak dapat dikesan.

"Seorang wanita berusia 34 tahun yang memandu Proton Persona kemudiannya telah datang ke balai polis membuat laporan telah terlanggar objek dipercayai mangsa di tengah jalan.

"Akibat kemalangan itu, sebahagian anggota badan mangsa berkecai. Anggota bomba turut membantu membersihkan jalan dan operasi tamat pada pukul 9 pagi," katanya.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh untuk dibedah siasat.

"Usaha mengesan waris sedang giat dilakukan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram