Zuraida nafi 'bermasalah' jadi punca ke PBM


  • Politik
  • Ahad, 29 Mei 2022

Zuraida Kamaruddin didakwa terlibat dengan parti lain sewaktu berkempen pada PRN Melaka dan Johor.

AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa beliau adalah ahli yang bermasalah ketika berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Zuraida berkata demikian sebagai membalas dakwaan tersebut yang dikatakan menjadi punca beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) ketika masih menjadi ahli Bersatu.

"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), saya bercakap mengenai idea penubuhan parti berbilang kaum baharu bagi memberi nilai tambah dan menjadi cabang kepada kepada Bersatu kerana ini akan meningkatkan sokongan terhadap parti.

"Ini kerana latar belakang PBM dengan sokongan akar umbi yang berjumlah 400,000 orang pastinya akan memberi manfaat kepada Bersatu," katanya.

Terdahulu, Zuraida menerima surat tunjuk sebab pada 11 Mei kerana berulang kali menyertai aktiviti PBM yang melanggar disiplin parti, dan beliau memberikan jawapannya pada 23 Mei.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, selepas meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

Muhyiddin kemudian dilaporkan berkata, keahlian Zuraida dalam Bersatu telah ditamatkan dan nama baharu akan diserahkan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet.

Beliau berkata, ini kerana keahlian Zuraida adalah mengikut kuota Bersatu.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman dilaporkan berkata, Zuraida didapati terlibat dalam aktiviti parti lain dan tidak membantu parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Zuraida berkata, masalah timbul apabila bekas ahli PKR yang mahu menyertai Bersatu tidak diterima malah keahlian mereka ditangguhkan.

Katanya lagi, kumpulan ini yang terdiri daripada aktivis politik berpengalaman luas dan mempunyai jawatan penting dalam parti tetapi tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu pembangunan Bersatu.

"Kami nampaknya terpinggir dan potensi sebenar tidak boleh diketengahkan, yang akhirnya merugikan Bersatu," katanya.

Ketika menolak dakwaan beliau menyertai PBM ketika masih bersama Bersatu, Zuraida meminta pejabat setiausaha agung mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

“Hubungan, aktiviti dan pergerakan saya adalah di luar kapasiti politik iaitu antara saya dengan Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang saya tubuhkan seawal 2018 untuk mengeratkan hubungan saya dengan masyarakat di seluruh negara dan perkara itu tidak boleh digunakan sebagai asas untuk tuduhan ini.

"Keputusan majoriti pemimpin PKR untuk menyertai PBM tidak harus dipersalahkan secara langsung kepada saya," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram