JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia dikhabarkan bakal menyaksikan pasukan Sri Pahang FC melepaskan tiga pemain import mereka.
Perkara itu dilakukan susulan kontrak tiga pemain itu yang akan tamat tidak lama lagi.
Berdasarkan hantaran Malayantigerfans, tiga pemain yang dimaksudkan adalah pemain penyerang Mahmoud Za'tara, Billy Ketkeophomphone dan pemain pertahanan, Johan Martial.
Ketiga-tiga pemain ini juga menjadi bualan peminat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan prestasi mereka terutama Billy dan Martial yang sering mengalami kecederaan sepanjang penglibatan mereka bersama skuad Tok Gajah.
Manakala, Za'tara pula tidak menyerlah sebagai penyerang pasukan itu dan hanya menyumbang satu gol semasa perlawanan Sri Pahang dengan Melaka United FC pada April lalu.
Meskipun bakal melepaskan tiga pemain import, Sri Pahang FC juga dikhabarkan bakal membawa masuk dua tonggak import baharu yang bakal mengukuhkan lagi pasukan itu.
Dua pemain tersebut adalah, pemain kelahiran Jerman,Kevin Ingreso dan Steven Rodríguez (Columbia).
Kehadiran kedua-dua pemain tersebut dikhabarkan bakal menjadi tonggak untuk memperkuat jentera penyerang dan pertahanan Sri Pahang FC.
Ingreso yang bermain di posisi penyerang kini beraksi untuk kelab Liga 1 Thailand, Samut Prakan City, secara pinjaman dari BG Pathum United.
Namun dalam aksi 23 perlawanan sepanjang musim ini, Ipemain berusia 29 tahun itu belum mencetak sebarang gol dan hanya menyumbang dua bantuan gol.
Prestasinya itu mungkin tidak akan melegakan keresahan penyokong Sri Pahang FC yang mahukan jentera penyudah lebih tajam berbanding penyerang yang sedia ada.
Manakala Rodríguez juga merupakan pemain penyerang buat kelab Idependiente Medellín di Columbia.
Pemain berusia 23 tahun ini mempunyai rekod cemerlang berbanding Ingreso kerana berjaya menyumbang empat gol dalam 11 perlawanan musim ini.
Jika Rodríguez disambar Tok Gajah, ia mungkin merupakan keputusan yang tepat memandangkan usia pemain tersebut yang masih muda dan statistik perlawanan yang lebih baik untuk diserap ke kelab Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram