SEORANG wanita yang dipercayai mengalami kemurungan cuba terjun di Sungai Kelantan, dekat Pasir Mas, Kelantan, pada Jumaat petang.
Namun, tindakannya dapat dihalang beberapa orang pemancing yang berada di tempat kejadian.
Menerusi sebuah video tular, kedengaran suara salah seorang saksi yang mengakui berasa lega,selepas mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian mencemaskan itu.
“Mujur dah selamat, terkejut saya...,” katanya dalam dialek Kelantan.
Dalam video berasingan, wanita muda tersebut dilihat kusut dan menangis teresak-esak akibat tertekan dengan masalah yang menimpanya.
Turut kedengaran, wanita itu kesal dan marah dengan kelakuan seorang lelaki yang dipercayai suaminya.
Katanya, dia juga tidak boleh pulang ke kediamannya ketika itu kerana mengakui tidak berasa tenang.
Wanita yang mempunyai lima orang anak itu turut ditenangkan oleh orang ramai yang bersimpati dengan nasib menimpanya.
Majoriti sedang menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram