JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sedang menyiasat video berkaitan amalan khurafat yang dilakukan di Gunung Jerai, Yan, Kedah yang ditular melalui aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, video berdurasi satu minit itu menunjukkan perbuatan dilakukan beberapa individu dan pihaknya memandang berat kes berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana kesalahan doktrin palsu, menghina serta menyebabkan dipandang hina agama Islam.
"Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 4, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
"Manakala Seksyen 7 enakmen sama, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Mohd Yusri berkata, pada masa sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan mengadakan siri penerangan di seluruh negeri ini berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.
Beliau berkata, JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa sama akan sentiasa memantau aktiviti keagamaan di seluruh negeri ini.
"Selain itu, kita minta semua masyarakat supaya sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan.
"JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah," katanya.
Mohd Yusri berkata, JHEAIK juga amat berharap supaya masyarakat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam.
Terdahulu, tular di video TikTok yang memaparkan beberapa aktiviti yang dikaitkan dengan agama Islam tular dan mendapat kecaman daripada warganet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram