'Tempah siap-siap tiket final UCL musim depan,' Klopp yakin Liverpool akan lebih kuat


  • Podium
  • Ahad, 29 Mei 2022

Klopp memeluk Virgil van Dijk selepas final Liga UCL. β€” Agensi

PENGENDALI pasukan Liverpool, Jurgen Klopp yakin bahawa The Reds akan kembali lebih kuat pada Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Dia turut menyarankan peminat supaya menempah hotel untuk perlawanan akhir Liga UCL tahun hadapan di Istanbul.

Liverpool gagal meraih mahkota Eropah ketujuh selepas tewas 0-1 kepada Real Madrid hasil jaringan Vinicius Junior di Stade de France, Perancis.

Kekalahan itu turut membenam hasrat Liverpool untuk meneruskan rentak kejayaan selepas memenangi Piala Carabao dan Piala FA sebelum menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Klopp, bagaimanapun, mempunyai keyakinan penuh terhadap pasukannya untuk kembali musim akan datang.

"Menjejakkan kaki ke final adalah satu kejayaan walaupun gagal meraih kejayaan.

"Saya mempunyai perasaan yang kuat bahawa kami akan datang lagi. Pemain kami benar-benar berdaya saing dan merupakan kumpulan yang cemerlang dan mereka akan kekal begitu pada musim depan.

"Kami akan kembali lagi musim depan di Istanbul, Tempah hotel!," katanya.

Tambahnya lagi, kekalahan musim ini tidak memberi kesan kepada semangat pemain yang mana mereka tidak meratapi kegagalan itu untuk tempoh masa yang lama.

"Mood dalam bilik persalinan selepas perlawanan seolah Liverpool tidak mempunyai musim yang hebat pada masa ini dan kami memerlukan beberapa minit atau jam untuk itu.

"Kami bermain dengan baik meskipun ia bukan permainan yang sempurna," ujarnya.

Mengulas tentang perlawanan akhir UCL bersama Real Madrid, Klopp mengakui bahawa pasukannya mensia-siakan banyak peluang untuk mencetak gol.

"Mereka (pemain) mencuba segala-galanya, terutamanya ketika ketinggalan 0-1, kemudian kami bermain seperti yang kami mahu bermain sebelum ini.

"Kami mahu menjadi lebih berani pada separuh masa kedua," katanya.

Pasukan Klopp akan pulang pada hari Ahad dan melakukan perarakan di sekitar bandar.

Kelab dan majlis memutuskan untuk meneruskan perarakan selepas The Reds memperoleh Piala Carabao dan FA musim ini.

β€œDan esok, kami akan meraikan musim ini,” kata Klopp.

"Sebaiknya perkara itu dilakukan selepas pemain mendapatkan rehat dan seterusnya mendengar motivasi daripada saya. Setidaknya mereka menyedari betapa istimewanya usaha yang mereka lakukan.

"Kami masih akan melakukan musim ini, saya sangat berharap semua orang yang berpeluang ke Liverpool berada di sana esok dan meraikannya bersama meskipun ia tidak berakhir seperti yang kami mahukan.

"Bagaimanapun seperti yang saya katakan, pasukan sudah mempamerkan aksi yang terbaik dan kami akan kembali lagi," tambahnya lagi. β€” Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram