Perlawanan akhir Sutera 2021 dicemari insiden pergaduhan


  • Tular
  • Ahad, 29 Mei 2022

Tangkap layar insiden pergaduhan antara pasukan Kuala Nerus dan Marang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

ARENA sukan bola sepak tempatan sekali lagi dicemari dengan insiden pergaduhan antara pasukan Kuala Nerus dan Marang dalam perlawanan akhir perlawanan akhir Bola Sepak Sukan Terengganu (Sutera) 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Video pergaduhan tersebut turut dikongsi menerusi akaun Facebook, We Bleed Black & White yang memaparkan tentang kejadian memalukan berkenaan.

Bersama video tersebut, pemilik akaun turut menulis status ringkas menyatakan tentang insiden tersebut.

Pemilik akaun memaklumkan tentang keputusan penuh pertandingan yang menyaksikan pasukan Marang muncul juara selepas mengalahkan pasukan Kuala Nerus dengan keputusan 1-0.

"Marang juara, raih pingat emas walaupun Kuala Nerus dibarisi bekas pemain Terengganu FC (TFC).

"Tahniah Marang, underdog menang," tulisnya.

Di ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook mengecam kejadian tersebut yang disifatkan sebagai tidak profesional dan hanya mencemarkan nama negeri.

Seorang pemilik akaun Mohd Fazuan memberitahu di ruangan komen yang mendakwa pergaduhan yang dimulakan oleh pasukan Kuala Nerus itu turut berlaku dengan pasukan lain.

ganu gaduh 1

Komennya antara pasukan lain yang dimaksudkan adalah Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

"Lawan dengan Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang bergaduh, masa main dengan Terengganu dulu tak berapa bagus pun.

"Bermain di sukan Sutera pula berlagak bintang besar," katanya.

Sutera edisi kedua yang sepatutnya berlangsung tahun lalu secara dwitahunan itu memilih Daerah Kuala Nerus sebagai tuan rumah berlangsung bermula 24 hingga 28 Mei 2022 melibatkan 14 venue sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan penyertaan seramai 2244 atlet membabitkan lapan daerah.

Sebanyak 13 jenis sukan dipertandingkan membabitkan tujuh sukan wajib manakala selebihnya sukan pilihan yang melibatkan 84 acara dengan menawarkan 284 pingat keseluruhan.

Sutera mempertandingkan dua kategori iaitu terbuka dan bawah 20 tahun.

Pada edisi pertama 2019, Daerah Kuala Terengganu muncul johan keseluruhan dengan merangkul 36 pingat emas, 13 perak dan 21 gangsa manakala naib johan dimenangi Daerah Kuala Nerus dengan 19 emas, 19 perak dan 19 gangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram