SEORANG warga emas, Yaakub Ismail, 76, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu akhirnya ditemukan semula oleh penduduk kampung kira-kira empat kilometer dari dusun buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli, Kelantan pada Rabu.
Yaakub yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 6.45 petang pada Rabu.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, lelaki itu dibawa keluar menggunakan motosikal sebelum menaiki kenderaan pasukan penyelamat untuk dibawa ke hospital.
Yaakub sebelum itu telah keluar ke dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun pada Khamis lalu.
Namun, kehilangan warga emas itu disedari anak lelakinya, Mohd. Sufian, 49, selepas mendapati mangsa tiada di kebun seluas 4.8 hektar itu meskipun kenderaan pacuan empat roda jenis Daihatsu Feroza dipandunya masih ada di kawasan tersebut.
Mohd Sufian berkata, berdasarkan apa yang diceritakan, sepanjang tempoh kehilangan itu ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.
"Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.
Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun terlajak jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin memberitahu, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dengan melambai-lambai tangannya meskipun sudah tidak bermaya.
"Siasatan mendapati, warga emas itu memaklumkan dia turun ke bawah bukit untuk melihat tempat mencabut anak pokok getah sebelum mahu naik semula ke atas. Bagaimanapun, dia tiba-tiba hilang arah dan tidak tahu jalan untuk pulang semula ke kebunnya," katanya.
Tambah Ahmad, warga emas itu dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Jeli di sini untuk rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram